BANGKOK- Suri rumah di Yala menjadi salah seorang daripada tiga kes baharu Covid-19 di Thailand hari ini.

Wanita berusia 59 tahun itu dijangkiti virus berkenaan selepas menjadi kontak rapat seorang pesakit positif Covid-19 yang baru sahaja pulang dari Malaysia.

Wanita berkenaan menurut jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, Dr. Taweesilp Visanuyothin, tidak menunjukkan sebarang gejala.

Thailand hari ini mencatatkan tiga kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 2,992 dan tiada kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah korban kekal 55.

Dua lagi kes baharu melibatkan lelaki berusia 46 dan 51 tahun yang baru pulang dari Kazahkstan Sabtu lalu.

Mereka bersama 55 penumpang lain yang berada dalam pesawat yang sama telah dikuarantin sebaik mendarat.

Tambah Taweesilp, jumlah wilayah yang bebas daripada kes Covid-19 sejak 28 hari lalu meningkat kepada 39.

Ini merangkumi Chiang Mai, Chaiyaphum, Lampang, Phitsanulok dan Trang.- MalaysiaGazette