Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Barisan kepemimpinan Pas Kedah mendakwa wujud kepincangan dan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) di negeri Jelapang Padi itu sehingga  menampakkan kelemahan sekaligus menyukarkan gabungan itu mengurus tadbir kerajaan.

Perkembangan itu jelas dilihat menerusi kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee Isnin lalu melalui akaun Facebooknya yang mempertikaikan keputusan pemecatan timbalannya di Cabang PKR Sungai Petani dan ramai lagi kepimpinan cabang di Kedah.

Kenyataan tersebut, menurut Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Ahmad Yahaya jelas memperlihatkan ADUN itu sudah tidak sehaluan dengan kepimpinan PH negeri malah desas-desus semakin hangat ada beberapa ADUN PKR juga tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekarang bukan lagi pengerusi PH Kedah justeru beliau hanya mampu melihat tanpa berhak mencatur pergerakan ADUN PH daripada PKR kerana dari sudut gabungan, PKR dan Bersatu tidak lagi sehaluan.

“Mukhriz juga dalam keadaan amat lemah kerana daripada enam ADUN Bersatu Kedah, tidak sampai separuh yang berpihak kepadanya memandangkan banyak kelemahan yang gagal diperbaiki Mukhriz,” kata Ahmad Yahya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa, ADUN-ADUN dalam Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) Kedah juga canggung dengan tindakan Bersatu yang masih berkerjasama dengan PH untuk menjadi negeri pembangkang sekaligus melawan arus kerana Perdana Menteri adalah Presiden parti mereka sendiri.

“Pada dasarnya, PH telah tempang dan kehilangan majoriti untuk menerajui kerajaan negeri Kedah, perubahan kerajaan negeri sudah tidak dapat dielakkan lagi,” katanya.

Ahmad Yahaya berkata, mengambil kira perkembangan tersebut, Pas Kedah yang memiliki 15 kerusi DUN iaitu jumlah paling tinggi dalam kalangan parti yang ada di negeri itu bersedia menerajui pentadbiran kerajaan negeri ini.

Atas semangat Muafakat Nasional Pas-UMNO, katanya, dua lagi kerusi milik UMNO menjadikan kesemuanya 17 kerusi DUN.

Beliau berkata, keyakinan ini turut mengambil kira kredibiliti calon menteri besar dalam kalangan ADUN PAS yang mempunyai pengalaman dan rekod yang bersih sepanjang bersama dalam kerajaan negeri ketika era Pas mentadbir Kedah 2008-2013 lalu.

“Kecelaruan iklim politik yang dipamerkan PH ini telah memberikan kesan negatif terhadap penumpuan memajukan negeri dan rakyat menerima tempias buruk akibat perbalahan pemimpin PH,” katanya.

Isnin lalu, Dr. Robert Ling Kui Ee mencabar pucuk kepimpinan Parti Keadilan Nasional (PKR) memecat keahliannya sebagai ahli parti itu.

“Bila mau gantung (keahlian) saya pula? Takut untuk pecat saya ka? Takut hilang kerajaan negeri (Kedah) pula ka?,” katanya dalam ciapan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas kecewa dengan tindakan PKR menggantung keahlianTimbalan Ketua Cabangnya, Ketua AMK dan dua Ahli Jawatankuasa (AJK) di cabang berkenaan.

Dr. Robert Ling mendakwa, tindakan PKR itu dilakukan secara terpilih iaitu dalam kalangan ahli bukan wakil rakyat.

“Ketika dunia sedang bertarung dengan Covid-19, ada sebuah parti di Malaysia lebih suka untuk meemecat dan menggantung keanggotaan anggota sendiri. Parti itu parti PKR,” ujarnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Segeralah PAS untuk memerintah Negeri Kedah dari kerajasn PH yang langsung tak guna tu. Satu benda pun tan nampak bsiknya. Menyusahkan radkyat aje.

  2. Kita tunggu dengan penuh kegembiraan agar jadi kenyataan supaya Pas memerintah Kedah. Dah mual dengan perangai Bersatu

Comments are closed.