Muhammad Afiqq Noh

KUALA LUMPUR – Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk pemimpin kerajaan mahupun pembangkang untuk berpolitik kerana negara masih dalam tempoh tegang membendung Covid-19.

Sebaik-baiknya, kepimpinan politik negara ini terus membantu kerajaan menyantuni, melihat jerih-perih rakyat dalam menempuh tempoh-tempoh mencabar ini.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Afiqq Noh berkata, perkara itu adalah tugas hakiki seorang wakil rakyat yang sebenar dan bukan membuka pekung di dada serta menaikkan suara yang sumbang, menjatuh dan menunding jari antara satu sama yang lain.

”Suara emas politik anda tidak bermakna jikalau kebajikan rakyat tidak diutamakan. Rakyat tidak bodoh dalam menilai dan melihat perwatakan pemimpin politik mereka, malah sebenarnya rakyat lebih bijak dalam membuat keputusan.

”Kesemua parti besar dalam gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional telah pun menjadi kerajaan dan mempunyai pengalaman dalam mentadbir negara.

”Jadi, kedua-dua gabungan ini akan dinilai oleh rakyat di mana rakyat akan menilai gabungan parti manakah yang banyak membantu dalam menjaga kebajikan rakyat dalam pilihan raya yang akan datang.

”Mungkin Pilihan Raya Ke-15, rakyat sudah tidak melihat parti politik sebagai penanda aras untuk menyatakan sokongan, mungkin rakyat akan melihat batang tubuh pemimpin politik itu sendiri yang bakal menjadi cerminan sama ada berguna untuk rakyat teruskan sokongan melalui undian ataupun tidak,” katanya hari ini.

Muhammad Afiqq juga menggesa agar pertelingkahan antara parti politik dapat dihentikan segera supaya tidak menggugat kewibawaan kerajaan baharu.

Katanya, pertelingkahan yang panjang tidak akan menyelesaikan sebarang masalah, namum ianya akan terus menambah masalah sehingga mengganggu gugat kesejahteraan rakyat dan negara.

”Jangan kerana kuasa, rakyat dan negara sanggup digadai,” ujarnya.

Menurutnya, semua pemimpin harus belajar untuk hidup bersama sebagai saudara walaupun berlainan parti mahupun kumpulan sokongan kerana matlamat di hadapan adalah membangunkan semula kegemilangan dari segi ekonomi dan lain-lain.

”Daripada pemimpin politik terus bertengkar adalah amat baik kita mencari jalan menyelesaikan masalah seperti kos sara hidup yang terus membelenggu rakyat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette