Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Sejumlah 88 kes baharu sembuh daripada wabak Covid-19 yang discaj dan dibenarkan keluar daripada wad hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif yang sembuh daripada wabak berbahaya itu kepada 4,864 kes.

Dalam pada itu, jumlah kes baharu direkodkan rendah hari ini dengan 68 kes sahaja.

“Terdapat 68 kes baharu yang telah dilaporkan, di mana 57 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,535 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,564 kes,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Daripada 68 kes baharu yang dilaporkan hari ini, empat kes import dilaporkan.

Selebihnya, sebanyak 64 kes adalah penularan tempatan melibatkan tiga kes dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagaimanapun, tiada kes kematian direkodkan hari ini.

“Sehingga kini, seramai 18 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette