Sidang media bersaa oleh Khairy dan Tengku Zafrul hari ini di MOSTI Putrajaya.

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan bersetuju menyalurkan peruntukan sehingga RM100 juta kepada Malaysia Debt Ventures (MDV) bagi membiayai program pembiayaan Technology Start-up Funding Relief Facility (TSFRF) bagi membantu syarikat-syarikat baharu teknologi yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, berdasarkan satu tinjauan yang dilaksanakan oleh MaGIC pada 4 April lalu, hampir 50 peratus syarikat baharu memerlukan antara RM500,000 sehingga RM1 juta untuk memastikan kelestarian perniagaan sepanjang tahun ini.

Jelasnya, TSFRF yang akan dilaksanakan MDV bermula 15 Mei ini dengan menyediakan bantuan kewangan bagi menampung aliran tunai seterusnya mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan syarikat- syarikat terpilih.

“TSFRF ini adalah terbuka kepada semua syarikat start-up teknologi milik rakyat tempatan dan majoriti pendapatan dijana dalam negara.

“Pakej rangsangan ini menawarkan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun tertakluk kepada semakan tahunan serta pengecualian bayaran fi guaman selain tiada fi dan kos tambahan yang harus ditanggung oleh pemohon dan proses ini akan dibuat secara cepat dan mudah.

“Maklumat lanjut mengenai TSFRF boleh diperolehi menerusi laman web MDV (www.mdv.com.my),” kata dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, dana itu akan diselaraskan bersama peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi-agensi pembiayan teknologi di bawah MOSTI seperti MDV, CRADLE, MAVCAP dan MTDC.

Menurutnya, peruntukan itu akan disalurkan dalam bentuk pinjaman, geran, inisiatif pembangunan kapasiti, sokongan operasi dan akses kepada pasaran.

Justeru katanya, Cradle akan turut menawarkan program pembiayaan baharu berbentuk geran berjumlah RM26.5 juta yang akan bermula penghujung Mei 2020.

“Program pembiayaan ini adalah khusus untuk permohonan baharu yang akan membantu membiayai syarikat start up teknologi selepas mengambil kira isu serta cabaran yang dihadapi disebabkan Covid-19.

“Manakala MAVCAP telah melancarkan dua program pembiayaan baharu iaitu Lunex (berjumlah US$10 juta) yang memberi fokus kepada start-up fintech dan Asia Greentech Fund (US$20 juta) dengan fokus kepada start-up teknologi hijau.

“Sebuah program pembiayaan lain yang akan dipanggil SuperSeed Fund II dengan jumlah sebanyak US$10 juta juga akan dilancarkan dalam tempoh masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat gas dan minyak, Serba Dinamik.

Menurutnya, kerjasama itu meliputi program pembiayaan sebanyak RM6 juta untuk membiayai syarikat digital yang berpotensi selain MTDC akan mengadakan kolaborasi dengan syarikat bagi pelaksanaan pembiayaan P2P berjumlah RM2 juta.

Terdahulu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerima kunjungan Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di pejabatnya di MOSTI.

Dalam pertemuan tersebut, Khairy dan Tengku Zafrul telah diberikan taklimat mengenai pelaksanaan inisiatif-inisiatif terlibat sebelum mengadakan perbincangan lanjut mengenai pakej rangsangan itu. – MalaysiaGazette