Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, itu antara perbincangannya dengan Presiden AS, Donald Trump selama setengah jam.-Ihsan FB Muhyiddin.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menzahirkan kesepakatan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan peralatan kritikal dan bekalan lain terutamanya semasa krisis kesihatan global.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, itu antara perbincangannya dengan Presiden AS, Donald Trump selama setengah jam.

“Malam ini saya telah menerima panggilan telefon daripada Trump, Presiden AS. Selain mengucapkan tahniah kepada saya dan kerajaan yang baharu, kami menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama komprehensif di antara Malaysia dan AS,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya malam ini.

Menurut Muhyiddin, mereka juga berbincang mengenai pandemik Covid-19 serta pendekatan-pendekatan yang telah diambil kedua-dua negara.

“Kami turut menekankan peri pentingnya kerjasama komuniti antarabangsa bagi mengurangkan kesan pandemik tersebut ke atas kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global.

“Usaha-usaha tersebut termasuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin Covid-19 kelak,” katanya lagi.

Selain itu, kedua-dua pemimpin itu turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama dalam konteks mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa.- MalaysiaGazette