Bakke
Tan Sri Mohd. Bakke Salleh

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd. Bakke Salleh sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah TM yang baharu.

Beliau menggantikan Rosli Man yang telah meletakkan jawatan.

Pelantikan Mohd Bakke berkuatkuasa 11 Mei ini, katanya dalam satu kenyataan TM hari ini.

Bagi pihak Kumpulan TM, Lembaga Pengarah, menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rosli atas kepimpinan dan sumbangan beliau kepada Kumpulan TM sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Seluruh barisan lembaga pengarah, pengurusan dan warga TM ingin merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada pengerusi kami, Rosli Man atas sumbangan berharga beliau kepada TM sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Semasa tempoh kepimpinannya, beliau berperanan penting dalam meletakkan TM sebagai Penyedia Infrastruktur Telekomunikasi Negara atau InfraCo dalam mempersiapkan Kumpulan untuk meneraju pelaksanaan infrastruktur 5G negara,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Rosli telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah TM pada Disember 2018.- MalaysiaGazette