Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Sebanyak 142 pasukan ditubuhkan Polis Kuala Lumpur bagi membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau perjalanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pasukan tersebut yang dipanggil Team Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan membantu KKM dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Sebanyak 142 team pematuhan yang terdiri daripada 926 pegawai dan anggota polis telah ditugaskan untuk membuat pemantauan di seluruh kontinjen Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, sepanjang tempoh PKPB ini, terdapat 13 aktiviti yang dilarang sepertimana termaktub di dalam Warta Kerajaan Persekutuan PeraturanPeraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020.

Ujarnya, antara aktiviti-aktiviti tersebut adalah aktiviti hiburan, riadah, rekreasi, keagamaan, kebudayaan, kesenian dan perniagaan yang boleh menyebabkan ramai orang berhimpun serta beberapa aktiviti lain yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

Selain daripada aktiviti yang tidak dibenarkan, semua sektor perniagaan, industri, awam dan sosial adalah dibenarkan untuk beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan semasa serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, katanya.

Tambah beliau, SOP ini termasuklah penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai topeng muka, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19, keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan, bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara online.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi larangan dan SOP PKPB itu demi keselamatan dan kesihatan diri masing-masing serta keluarga.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette