KUALA LUMPUR – Syarikat boleh memulakan operasi pada 4 Mei 2020 tanpa surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan saringan pekerja adalah tidak wajib, menurut MITI.

Dalam kenyataan berhubung soalan lazim berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini, MITI berkata seperti yang diumumkan Perdana Menteri pada 1 Mei lepas, semua syarikat, kecuali di dalam senarai yang dilarang yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), boleh beroperasi bermula tarikh tersebut.

Katanya syarikat-syarikat tidak lagi perlu untuk membuat permohonan kepada MITI.

Menurut MITI, majikan boleh memanfaatkan Program Saringan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan maklumat lanjut tentang program ini boleh didapati melalui pautan https://prihatin.perkeso.gov.my.

“Program saringan kesihatan bagi COVID-19 ini diberi secara percuma kepada pekerja bagi majikan yang berdaftar dengan PERKESO. Sekiranya mempunyai pertanyaan lanjut, boleh menghubungi PERKESO melalui talian 03-42645555 / 03-80915100 / 1-300-22- 8000,” katanya.

Bagi pekerja asing (bukan warganegara) industri pembinaan, katanya adalah diwajibkan untuk menjalani ujian COVID-19 melalui Program Saringan PERKESO, seperti mana dinyatakan dalam prosedur operasi standard (SOP) industri pembinaan.

“Manakala bagi pekerja asing (bukan warganegara) lain-lain sektor industri, majikan perlu mengikuti arahan dan pengumuman kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya jika pekerja, sama ada pekerja tempatan atau pekerja asing yang didaftarkan dijangkiti COVID-19, rawatan perlu dilakukan di hospital kerajaan dan kos perubatan akan ditanggung kerajaan.

“Bagi individu yang dikesan mempunyai kontak dengan pesakit, individu tersebut perlu menjalani kuarantin mengikut perintah kuarantin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Menurut MITI, jika pekerja (yang menjadi kontak rapat akibat bekerja) perlu dikuarantin di tempat lain selain hospital kerajaan dan rumah sendiri, kos penyediaan pusat kuarantin perlu ditanggung oleh majikan.

“Jika pekerja, sama ada pekerja tempatan atau pekerja asing yang didaftarkan, dijangkiti COVID-19, rawatan perlu dilakukan di hospital kerajaan dan kos perubatan akan ditanggung kerajaan, termasuk warga asing (sekiranya ujian mengesahkan COVID-19),” kata MITI.

Bagi individu yang dikesan mempunyai kontak dengan pesakit, individu tersebut perlu menjalani kuarantin mengikut perintah kuarantin tertakluk kepada ketetapan KKM.

“Jika pekerja (yang menjadi kontak rapat akibat bekerja) perlu dikuarantin di tempat lain selain hospital kerajaan dan rumah sendiri, kos penyediaan pusat kuarantin perlu ditanggung oleh majikan.

“Sebarang kos lain yang berkaitan logistik lain-lain di luar dari fasiliti hospital kerajaan atau klinik kerajaan, juga adalah ditanggung oleh majikan,” menurut MITI.

Jika pekerja menolak arahan bekerja daripada syarikat, katanya syarikat perlu merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan boleh menghubungi JTK melalui alamat e-mel di [email protected] atau [email protected].

Jika majikan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan, yang juga merupakan satu kesalahan undang-undang, aduan boleh dibuat secara terus kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti berikut;

i. Aduan mengenai premis perniagaan/peruncitan dipanjangkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

ii. Aduan mengenai kilang-kilang atau pengusaha sektor pembuatan boleh dipanjangkan kepada MITI di [email protected].

iii. Aduan mengenai premis makanan (restoran, medan selera, pusat penjaja dll) dipanjangkan kepada PBT.

iv. Aduan mengenai penginapan asrama/CLQ boleh dipanjangkan kepada JTK di [email protected], [email protected], [email protected].

v. Aduan mengenai tapak bina/premis boleh dipanjangkan kepada Kementerian Kerja Raya di www.kkr.gov.my.

vi. Aduan mengenai syarikat kawalan keselamatan swasta dipanjangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Manakala bagi sektor lain, MITI berkata syarikat boleh merujuk/menghubungi kementerian/agensi berkaitan.

“Menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk memahami dan mematuhi semua arahan semasa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga SOP Pencegahan COVID-19 yang dikeluarkan oleh KKM untuk sama-sama mengurangkan risiko dan membendung penularan pandemik COVID-19,” katanya, sambil menambah sebarang perubahan terkini sejajar dengan arahan terbaru pihak MKN dan KKM akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.- BERNAMA