JPN Sabah menutup empat lagi pejabat cawangannya yang berada dalam zon merah sebagai langkah mengelak penularan Covid-19.

KUALA LUMPUR – Tahap keselamatan dokumen warganegara atau MyKad kini diragui kerana data kehilangan dokumen itu yang luar biasa dilaporkan, dibimbangi berkait rapat dengan kegiatan penjualan MyKad kepada warga asing.

Mengikut data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 1.7 juta unit MyKad dilaporkan hilang kerana kecuaian atau jenayah, dalam tempoh lima tahun antara 2015 hingga 2019 atau 944 keping MyKad hilang dalam sehari.

Penganalisis Kajian Strategik dan Keselamatan Negara, Profesor Madya Dr Mizan Mohammad Aslam berkata, daripada jumlah itu, 1.3 juta unit MyKad dilaporkan hilang kerana cuai manakala 363,580 unit dilaporkan hilang kerana jenayah seperti diragut, dirompak dan sebagainya.

Katanya, data berkenaan dilihat luar biasa, malah pada tahun 2018, sebanyak 19.3 juta pemilik MyKad belum menukar MyKad baharu juga luar biasa jumlahnya, selain 20, 410 unit MyKad dilaporkan hilang dalam bencana.

“Ini menimbulkan hipotesis adakah kehilangan atau keengganan pemilik MyKad menukar MyKad baharu sebenarnya ada kaitan dengan isu penjualan data MyKad kepada warga asing?

“Negara pula dikejutkan dengan isu penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang pada tahun lalu menggunakan data individu yang sudah meninggal dunia, membabitkan Pengarah JPN negeri sendiri. Seramai 1,047 turuy dikesan memiliki MyKad asli menggunakan data orang lain.

“Isunya, MyKad berkenaan adalah asli tetapi menggunakan data rakyat untuk semua akses termasuk memohon kemudahan warganegara seperti pasport, perniagaan, pemilikan hartanah, pendidikan, perubatan dan paling membimbangkan ia digunakan untuk jenayah,” katanya kepada wartawan.

Dr Mizan Mohammad Aslam

Tambahnya, menurut laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2018, sebanyak 95 peratus atau lebih 100,000 pelancong China dan India yang masuk pada 2015 tetapi tidak keluar dari negara ini setelah masuk tiga tahun berlalu.

“China memiliki sembilan pusat Bahasa Universiti yang mengajar Bahasa Melayu, bayangkan jika pelajar mereka masuk dan memiliki MyKad, kita tidak dapat bezakan mereka kerana fasih berbahasa, hafal lagu kebangsaan dan rukun negara kerana sudah ada dalam modul pelajaran mereka.

“Sehingga ke hari ini, keberadaan mereka gagal dikesan yang menimbulkan hipotesis mereka sedang menggunakan dokumen seperti MyKad untuk survival dan bekerja di negara ini.

“Hasil maklumat risikan ada di kalangan warga asing menggunakan MyKad untuk memohon kerja sebagai tentera, malah ada yang menjawat sebagai guru dan lain-lain jawatan spesifik.

“Selain itu, sudah ada ramai yang dikesan bekerja sebagai pengawal keselamatan termasuk kes rompakan dan bunuh pada 23 Oktober 2013 oleh La Ode, warga Indonesia.

“Malah dalam beberapa operasi, penguatkuasa berjaya menemui warga Bangladesh memiliki MyKad kita,” katanya.

Tambahnya, ketika pendedahan media warganegara ekspres di tahun 2014 dan 2015, sumber dari negara jiran memberitahu bahawa dalam pengetahuannya terdapat lima juta data MyKad adalah warganegara ekspres dan ia sudah direkodkan, juga melibatkan pegawai tertinggi JPN.

“Malah menurut sumber ketika itu, SPRM yang sudah bersedia dengan berbagai bukti termasuk peralatan yang digunakan oleh JPN sendiri untuk membawa kes itu ke mahkamah tetapi terhalang oleh ‘alasan’ tertentu,” katanya.

“Sebaliknya, pegawai SPRM yang membongkar dan menangkap penjenayah tersebut pula yang dipindahkan ke jabatan lain, ” katanya

Katanya, pernah dilaporkan media bahawa bayaran ‘complete package’ bagi membeli MyKad, pasport dan sijil lahir mencecah sehingga RM1.3 juta.

“Jelas bahawa jual beli MyKad dan warganegara ekspres ini adalah bisnes yang amat menguntungkan sehingga beratus juta malah bilion ringgit.

“Faktor ini sahaja sudah menunjukkan adalah amat sukar dan mustahil untuk membanteras jenayah ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata atas kapasitinya sebagai penganalisis keselamatan memohon kerajaan meneliti semula tahap keselamatan MyKad kerana dilihat mudah bolos untuk sindiket melakukan pemalsuan atau penjualan MyKad yang asli.

Katanya, implikasi jika tidak dibendung akan merugikan negara, duit pembayar cukai digunakan untuk menyara warga asing termasuklah penggajian, perubatan dan lain-lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

5 Komen

  1. “Faktor ini sahaja sudah menunjukkan adalah amat sukar dan mustahil untuk membanteras jenayah ini,” katanya.

    ayat ini langsung tidak boleh dipakai. Katakan ” kita mampu untuk membentras jenayah ini” .

  2. Sudah tiba masa nya krjaan ambil tindakkn dgn serius pkrana ini..tukar ic bru yg lbh canggih dan pasti warga yg memiliki ic palsu n org yg memberi ic palsu di kenakan hukuman yg brat sprrti pjara 20 tahun n denda 100 ribu …

  3. Mengapa tidak segera ditubuhkan suruhanjaya diraja utk membongkar isu yg sudah lama ini?

    Hak negara dan rakyat dicerobohi…perlu tindakan segera.

  4. Kerajaan perlu menukarkan ic baru…dan tubuhkan rci untuk menangkap dalang yg sanggup gadaikan negara…hukuman dilucutkan kewarganegaraan dan penjara seumur hidup dan sebatan…kerana kesalahan yg dilakukan amat berat dan boleh menghancurkan negara

  5. JPN jgn tido!!
    apa yg JPN perlu buat adalah merekacipta kad pengenalan baru yg lebih selamat dan lebih terjamin daripada diciplak atau dijual oleh pihak2 haram jadah yg hanya memikirkan keuntungan semata2 tanpa memikirkan soal keselamatan negara,
    kerajaan perlu bertindak segera berkenaan isu ini,
    cari dan kesan pemilik2 kad pengenalan tiruan dan kad pelarian palsu,hukum semua mereka2 yg menggunakan dan terlibat dengan penjualannya,
    isu ini dan isu lambakan warga asing perlu ditangani segera,
    isu ini melibatkan soal keselamatan negara!!

Comments are closed.