Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memeriksa suhu badan ke atas penduduk yang beratur untuk membuat saringan bagi membendung wabak Covid-19 selepas memperketatkan kawalan secara pentadbiran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Satu lagi kematian direkodkan hari ini daripada pesakit positif Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes kematian ke-108 itu direkodkan di Hospital Melaka.

“Kes kematian ke-108 (kes ke-2499) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar
belakang penyakit autoimun, darah tinggi dan penyakit tiroid.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu kes ke-1276 yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, 54 kes positif Covid-19 turut direkodkan hari ini.

“(Sebanyak) 45 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,589 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,552 kes.

“Daripada 54 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes import dilaporkan,” katanya lagi.

Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, kes penularan tempatan adalah sebanyak 53 kes, yang mana sebanyak tiga kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah
Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Direkodkan juga, jumlah pesakit positif Covid-19 yang sembuh dan sudah dibenarkan pulang hari ini adalah 65 kes menjadikan jumlah keseluruhan adalah 4,929 kes. – MalaysiaGazette