Dewan Rakyat Parliament
Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Tindakan Pakatan Harapan (PH) mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mencetuskan ketidakstabilan dan kebimbangan kepada rakyat yang kini berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu jelas menunjukkan parti pembangkang tidak mempunyai rasa ihsan terhadap rakyat.

Sebaliknya, tambah beliau, mereka hanya mengutamakan kuasa semata-mata apabila mendesak sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung sehari sahaja pada 18 Mei ini dilanjutkan.

“Mengejutkan, PH terbukti bertindak melampaui batasan simpati kepada rakyat di mana, PH telah mendesak YDP Speaker Dewan Rakyat untuk membentangkan Usul Undi Tidak Percaya kepada Perdana Menteri (PM) dan mahu mengusulkan Undi Percaya kepada Tun Mahathir untuk dilantik semula menjadi Perdana Menteri.

“Polemik ini tidak mustahil akan memberi suasana yang tidak tenteram kepada rakyat yang masih gelisah untuk berhadapan dengan Covid-19 seterusnya merosakkan prestasi baik pihak berautoriti yang berjaya mengawal wabak ini dengan cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Ahmad Fadhli yang mewakili Pemuda Pas menyambut baik jika kerajaan tidak mengendahkan tuntutan PH yang mahu sidang Dewan Rakyat dilanjutkan sebagai bukti pemimpin juga perlu menunjukkan contoh terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengawal penularan Covid-19.

“Jika melihat daripada pengamalan Sidang DUN di setiap negeri, ada negeri yang tetap melaksanakan Sidang DUN semaksima 2 hari sahaja dan yang sependek 2 jam, kerana mengambil langkah berjaga-jaga yang sama untuk mematuhi disiplin pengawalan wabak Covid-19 ini.

“Oleh yang demikian, Pemuda Pas melihat desakan untuk pelanjutan Sidang Parlimen dilaksanakan seperti kebiasaan adalah desakan yang tidak perlu dan tidak penting, kerana keutamaan sekarang ini adalah untuk memastikan penularan wabak Covid-19 berjaya dikawal.

“Malah, persidangan dan perbahasan bukan hanya berhenti setakat ini, tetapi akan disambung semula pada tarikh baru iaitu pada bulan Julai, melihat kepada situasi semasa,” ujarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan bahawa antara usul yang akan dibawa dalam persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini adalah perisytiharan pelantikan ketua pembangkang, pelantikan jawatankuasa pilihan (select committee) serta pengerusi dan naib pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Selain itu, menurutnya dua Rang Undang-Undang penting berkaitan dengan kewangan akan dibawa pada persidangan kali ini untuk bacaan kali pertama sahaja, iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2019 dan 2020 dengan bacaan berikutnya diadakan pada sidang Parlimen yang bermula pada 13 Julai.

Pada 4 Mei lalu, ahli-Ahli Parlimen PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menggesa agar sidang Dewan Rakyat diadakan sekurang-kurangnya dua minggu bagi membolehkan perbahasan isu yang lebih mendalam, serta membolehkan jemaah menteri melaksanakan agenda legislatif kementerian masing-masing.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Saya cadangkan agar semua Ahli2 parlimen dimestikan mendapat pemeriksaan,saringan kesihatan Covid-19 . 3 hari sebelum bersidang. Supaya S.O.P Covid-19 tidak di ambil mudah.

  2. Si tua kutuk tu gila talak ke?? hari tu ko yg gatal2 resign..laaa ni ko gila nak jawatan balik??? ko ni tua bangang menyusahkan rakyat

Comments are closed.