KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Udara Malaysia (TUDM) membawa balik 19 orang rakyat Malaysia, sebahagian besarnya penuntut luar negara balik ke pangkuan keluar masing-masing ke Labuan, Sabah dan Sarawak.

Misi membawa balik mereka menggunakan pesawat pengangkut A400M dari Pangkalan Udara Subang.

Kesemua mereka yang dihantar pulang telah selamat menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor serta disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19.

Urusan bagi membawa pulang mereka yang terlibat diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Pengajian Tinggi. Kumpulan berkenaan dihantar dengan bas ke Pangkalan Udara (PU) Subang.

Mereka tiba di Bangunan Pergerakan Udara, PU Subang kira-kira jam 4.45 pagi perlu menjalani saringan kesihatan oleh petugas kesihatan dan staf perubatan tentera dari Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), PU Subang serta proses disinfeksi barang-barang sebagai prosedur operasi standard (SOP) tatacara pengurusan penumpang pesawat.

Malah mereka turut dibekalkan makanan untuk bersahur.

”Untuk misi penghantaran udara kali ini, pesawat A400 M membawa pulang pelajar dan anak kelahiran negeri berkenaan di tiga lokasi iaitu ke Kuching, Kota Kinabalu dan Labuan sebelum penghantaran ke lokasi penempatan di daerah kediaman masing-masing diuruskan oleh agensi di bawah kerajaan negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” kata TUDM.

Sehingga hari ini, keseluruhan seramai 159 orang rakyat Malaysia dari luar negara yang berasal dari Labuan, Sabah dan Sarawak telah selamat dihantar pulang oleh TUDM melalui enam penerbangan.

Selain penghantaran pulang rakyat ke negeri berkenaan, pesawat A400M turut melaksanakan penghantaran barang-barang bantuan alatan perubatan, barangan keperluan perlindunhan peribadi (PPE) serta makanan ke Labuan, Sabah dan Sarawak.

Untuk rekod, bagi penghantaran bekalan alatan perubatan dan makanan sepanjang tempoh pandemik Covid-19, keseluruhan berat yang telah dihantar melalui penerbangan TUDM adalah sebanyak 250 tan melibatkan atur gerak pesawat pengangkut A400M dan juga C130H. – MalaysiaGazette