Tun Dr. Mahathir Mohamad berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat Sempena Ulangtahun Ketiga Parti Bersatu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perancangan untuk membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan membentuk sebuah gabungan politik baharu diketahui dan disokong oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

“Hanya di saat-saat akhir di mana perancangan ini sepatutnya dilaksanakan, YABhg Tun mempunyai pendirian yang berbeza dengan pendirian parti,” kata Ketua Penerangan Bersatu, Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bagi menjawab dakwaan Datuk Marzuki Yahya bahawa MPT Bersatu tidak pernah membuat keputusan untuk parti keluar Pakatan Harapan (PH).

Radzi juga menjelaskan bahawa Marzuki yang kelmarin mengeluarkan kenyataan atas kapasiti Setiausaha Agung Bersatu hakikatnya telah diberhentikan dari jawatan tersebut pada 18 Mac lalu dah digantikan oleh Datuk Hamzah Zainuddin yang dilantik 26 Mac 2020.

Beliau berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dalam mesyuarat 23 Februari membuat keputusan yang jelas untuk keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu dengan parti-parti lain di luar PH.

“Justeru, dakwaan YB Senator Datuk Wira Haji Marzuki bahawa MPT tidak pernah membuat keputusan ini adalah tidak benar sama-sekali,” katanya sambil menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak dibuat secara tergesa-gesa.

Katanya, perkara tersebut telah dibincang di pelbagai peringkat pimpinan parti beberapa bulan sebelumnya dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Biro Politik  pada 21 Februari 2020 dan mesyuarat MPT Bersatu dua hari selepas itu.

Menurut Radzi, sebagaimana diketahui umum, Dr Mahathir sentiasa didesak oleh pimpinan PH terutamanya dari PKR dan DAP supaya meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Katanya, Dr Mahathir dan pimpinan Bersatu yang lain serta ahli-ahli parti tidak selesa dengan desakan tersebut kerana itu, ramai berpandangan tiada lagi kesepakatan dalam PH.

Selain itu, menurut beliau, pimpinan dan ahli parti di pelbagai peringkat juga tidak selesa dengan tindak tanduk parti DAP dan mereka rata-rata mahu parti mengkaji semula hubungan dengan DAP dalam PH.

“Justeru, demi kelangsungan perjuangan parti di masa hadapan, langkah mula diambil untuk membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu,” katanya.

Radzi menjelaskan lebih lanjut bahawa kemuncak usaha tersebut adalah pada 23 Februari lalu apabila Mesyuarat MPT dimaklumkan Dr Mahathir telah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Mereka terdiri daripada ahli-ahli Parlimen Bersatu, UMNO, Pas, GPS, WARISAN dan sebahagian Ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Azmin Ali dan dengan sokongan itu Dr Mahathir boleh membentuk sebuah kerajaan baharu dan beliau kekal sebagai Perdana Menteri.

“Dengan sokongan padu kepada YABhg Tun yang diterima daripada Ahli-Ahli Parlimen parti-parti di luar PH, MPT Bersatu memutuskan untuk keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu.

“Namun, YABhg Tun tidak bersetuju dengan keputusan ini. Sebaliknya, beliau mahu kekal berada dalam PH kerana mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari 2020 telah memutuskan untuk menyerahkan kepada beliau menentukan tarikh bila beliau hendak melepaskan jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Radzi, atas rasa hormat kepada Dr Mahathir,  MPT Bersatu bersetuju memberikan sedikit masa kepada beliau untuk mengumumkan keputusan yang telah dipersetujui oleh mesyuarat MPT.

Dengan kata lain, keputusan untuk keluar dari PH telah dibuat, cuma pengumumannya sahaja ditangguhkan

Namun, katanya, pada keesokan harinya, iaitu 24 Februari 2020, Dr Mahathir  telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersastu dengan alasan beliau tidak lagi mendapat sokongan ahli-ahli MPT.

Menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Beratu, apabila Pengerusi berhenti maka Presiden memangku jawatan Pengerusi.

Sebagai Presiden dan pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari yang sama telah membuat pengumuman Bersatu keluar dari PH sebagaimana yang telah diputuskan oleh MPT Bersatu dalam mesyuarat sehari sebelumnya.

Katanya, hakikat bahawa Bersatu telah keluar dari PH juga diakui oleh Dr Mahathir sendiri dalam perutusan khas pada 26 Februari 2020 beliau menyebut: “Saya minta diberi masa. Tetapi parti saya BERSATU telah memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan”.

Radzi turut mengulangi penegasan bahawa dakwaan MPT Bersatu tidak pernah membuat keputusan keluar dari PH adalah tidak benar sama sekali dan tidak disokong oleh fakta

Katanya, oleh kerana Dr Mahathir telah meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu maka  jawatan Pengerusi dipangku oleh Muhyiddin sehingga pemilihan MPT diadakan untuk memilih pengerusi baharu.

Buat masa ini tarikh pemilihan MPT BERSATU masih belum ditetapkan

“Benar, Mesyuarat Khas MPT pada 24 Februari 2020 telah menolak peletakan jawatan YABhg Tun sebagai Pengerusi Bersatu.

“Namun, setelah disemak dari sudut perlembagaan parti, tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang membenarkan MPT mengembalikan semula jawatan Pengerusi kepada pemegangnya yang telah meletak jawatan.

“Perkara ini adalah di luar batasan bidang kuasa MPT apabila terdapat peruntukan bertulis yang jelas mengenainya dalam Fasal 16. 9,” kata Radzi.

Beliau berkata, semua ahli termasuk Pengerusi, Presiden dan ahli MPT tertakluk kepada hak dan tanggungjawab yang termaktub dalam perlembagaan parti.

Tiada mana- mana ahli atau pemimpin, hatta pemimpin tertinggi parti sekalipun yang mempunyai kuasa melangkaui perlembagaan parti. Dengan kata lain, tiada sesiapapun yang berkuasa mutlak di dalam parti.  – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Halau saja orang tua ni leluar dari parti. Menyusahkan. Macam budak kecik tak dapat aiskrim

  2. Xpalah masa tu atok lupa..atok dh tua mana nk ingat semua hang pa pun x yah loklak pasai atok tu biaq pi dia meroyan sorg2..anak2 dia ada kita jaga kita yg hat sorg tu biaq pi lah dia nk ckp apa bkn buleh pakai pun buat tolak taik hanyut ja..hare tul

Comments are closed.