Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar mengagihkan bubur lambuk Bersatu Bantura 2020 di Jalan Tasik Selatan 21, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Tindakan pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan usaha untuk memesongkan tumpuan kerajaan memerangi penularan wabak Covid-19.

Timbalan Mdenteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, perkara itu tidak sesuai ditimbulkan ketika ini negara berhadapan dengan cabaran pandemik itu.

“Kita kecewa dan kesal dalam suasana begini yang mana bukan sahaja negara kita tetapi seluruh dunia menganggap bahawa cabaran utama kehidupan dan masa depan seluruh manusia adalah cabaran daripada Covid-19 ini.

“Terdapat juga usaha-usaha untuk memesongkan tumpuan negara kepada isu-isu yang sebenarnya boleh diselesaikan dan suasana dan masa yang lain. Masa ini tidak sesuai,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau menyatakan demikian letika ditemui pada rogram Drive Thru Bubur Lambuk Bersatu Bantura 2020 di Jalan Tasik Selatan hari ini.

Program anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bandar Tun Razak dan UMNO kawasan itu.

Hadir pada majlis Ketua Bahagan Bersatu Bandar Tun Razak Shahni Ismail dan Ketua UMNO Bahagian tersebut, Datuk Rizalman Mokhtar.

Semalam Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Katanya, usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat tetapi bukan pada persidangan yang berlangsung pada 18 Mei ini.

Selain Dr. Mahathir, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini turut mengemukakan usul yang sama namun ditolak oleh Speaker kerana tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan jawatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui dilaporkan turut bertindak sama kerana berpendirian Ahli Dewan Rakyat tidak mempunyai keyakinan terhadap Muhyiddin.

Sementara itu, Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, kedua-dua parti itu perlu mengutamakan kebajikan rakyat melalui jalinan kerjasama yang kukuh dalam masa yang sama menjadi teladan yang baik.

“Kita lupakan apa yang berlaku dengan krisis politik yang tercetus dan sebagainya, kita tumpu berbakti kepada rakyat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette