Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pemuda bersenjatakan parang yang terlibat dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah kedai di Jalan Tebing Timur, Jinjang Utara di ibu negara semalam berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kesemua suspek berusia antara 21 hingga 24 tahun ditahan pada Jumaat, 8 Mei 2020.

“Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, sepasukan polis dari Balai Polis Jinjang bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki berbangsa India terbaring di atas jalan dalam keadaan cedera parah dan mangsa telah dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurut Mazlan, hasil siasatan mendapati mangsa mengenali kumpulan lelaki yang menyerangnya dan kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa

“Mangsa pertama masih menerima rawatan di Hospital Selayang akibat kecederaan luka dikelar di bahagian badan, tangan dan kaki. Manakala, mangsa kedua mengalami luka kecil dan sakit di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau bertindak hasil maklumat dan risikan di tempat kejadian, pasukannya telah berjaya menjejaki dan menangkap enam lelaki berbangsa India yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 24 tahun dan disyaki terlibat dalam kes ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas kesemua suspek polis turut merampas sebuah motosikal, helmet, dan sebatang kayu serta pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek sewaktu kejadian.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati tiga orang suspek mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan melibatkan jenayah narkotik dan jenayah kekerasan.

“Kesemua suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini 9 Mei hingga 14 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. – MalaysiaGazette