Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak 67 baharu telah dilaporkan setakat jam 12 tengahari tadi dan daripada jumlah tersebut sebanyak 49 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah kira-kira 1,523 kes.

“Sehingga kini, seramai 18 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Hari ini tidak ada kes kematian yang direkodkan setakat jam 12 tengahari tadi.

“Jumlah kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 108 orang atau 1.62 peratus,” katanya dalam sidang media harian di KKM sebentar tadi.

Dalam pada itu, Noor Hisham juga memberitahu sebanyak 96 kes sudah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

“Jumlah kumulatf yang telah discaj setakat ini ialah 5,025 atau 75.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya.

Noor Hisham juga mengalu-alukan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk empat minggu akan datang sehingga 9 Jun depan.

“Pelaksanaan PKPB sebenarnya telah berjalan secara lancar dengan beberapa sektor ekonomi sudah dibuka. Mereka yang terkandas di kampung halaman atau tempat lain termasuk pelajar telah mula balik.

“Kebanyakan daripada peniaga, majikan dan rakyat juga telah mula mematuhi SOP yang telah ditetapkan, oleh itu KKM menyambut baik lanjutan ini yang pastinya akan memberi ruang kepada kerajaan terus memerangi Covid-19 dari terus menular,” ujarnya. –MalaysiaGazette