Idris Jusoh

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi FELDA dan Pengerusi Lembaga Pengarah FELDA berkuatkuasa pada 1 Mei 2020.

Idris mengambil alih tugasan Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang telah meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Idris merupakan Ahli Parlimen Besut dan pernah menjawat Menteri Pengajian Tinggi dari Julai 2015 hingga Mei 2018 dan Menteri Pendidikan II (gabungan Menteri Pelajaran & Pengajian Tinggi) dari 16 Mei 2013.

Antara jawatan lain yang pernah disandang Beliau termasuk sebagai Menteri Besar Terengganu (2004-2008), Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Timbalan Menteri Usahawan (1995-1999) dan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Beliau berkelulusan Ijazah Sains Sosial (ijazah kelas pertama) dari Universiti Sains Malaysia (1980) dan Ijazah Sarjana MBA dari University of New Haven, USA (1988).

Beliau juga mempunyai kelulusan Bahasa Arab dari Universiti Jordan (1993-1994) dan kelulusan Pengurusan Lanjutan dari Universiti Harvard, USA (2001) dan INSEAD Perancis (2008).

Pengarah Besar FELDA Datuk Dr Othman Omar dalam kenyataan mengalu-alukan pelantikan Idris sambil melahirkan keyakinan bahawa dengan pengalaman dan kepimpinan Idris usaha pemulihan FELDA dapat diterus dan dipercepatkan.

“Kami juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohd Bakke di atas segala usaha dan sumbangan beliau semasa menyandang jawatan Pengerusi.

“Beliau amat komited dalam membawa pelbagai pembaharuan dan strategi pemulihan terutamanya dalam menjayakan pelan transformasi menerusi inisiatif Kertas Putih FELDA.

“Komitmen beliau telah memberikan semangat kepada seluruh warga FELDA untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memastikan organisasi ini terus maju dan mencapai yang stabil dan lestari,” katanya. – MalaysiaGazette