Orang awam mula membeli pakaian sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung wabak Covid-19 ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengingatkan penduduk di kawasan hijau agar jangan berasa telah selamat dan mereka boleh bergerak ke sana sini dengan bebas.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegas, penduduk di kawasan itu mungkin beranggapan mereka tidak akan dijangkiti wabak ini kerana berada di kawasan hijau.

Namun beliau menegaskan, virus Covid-19 adalah musuh senyap yang masyarakat tidak dan ia boleh menyerang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

“Jadi, berhati-hatilah. Penjarakan sosial, memakai topeng mulut dan hidung dan membersih tangan mestilah terus diamalkan sehinggalah kita berjaya menemui vaksin untuk virus ini.

“Menurut pandangan pakar perubatan, proses menghasilkan vaksin biasanya mengambil masa yang agak lama iaitu antara 12 hingga 18 bulan. Saya telah berhubung dengan beberapa pemimpin negara luar dan dimaklumkan ujian-ujian klinikal sedang giat dilaksanakan untuk menghasilkan vaksin bagi virus ini.

“Saya berharap vaksin dapat dihasilkan seberapa segera supaya kita boleh bebas daripada ancaman COVID-19 dengan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan media sosial di sini hari ini.

Muhyiddin turut merakamkanĀ ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga memudahkan para petugas barisan hadapan kita menangani krisis ini.

“Hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan, kita telah berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau.

“Kawasan-kawasan ini tidak mencatatkan sebarang kes positif Covid-19 baharu dalam tempoh dua minggu yang lalu.

“Daripada 1,178 mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint di seluruh negara, sebanyak 1,112 atau 94.4 peratus telah dikategorikan sebagai hijau, manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning dan hanya empat atau 0.34 peratus yang masih berstatus merah. Yang dimaksudkan dengan status merah ialah kawasan-kawasan yang mencatatkan lebih 40 kes positif Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast