Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang memperhalusi tatacara atau prosuder standard operasi (SOP) tertentu yang boleh diamalkan oleh para jemaah mengenai solat berjemaah di masjid termasuk solat Jumaat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selepas SOP itu dimuktamadkan dan dipersembahkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam Persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk bersolat jemaah di masjid.

“Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu. InsyaAllah, kita doakan keadaan akan bertambah baik. Tambahan pula telah banyak kawasan-kawasan hijau di seluruh negara.

“Dengan pelaksanaan SOP yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah. Berikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan.

“InsyaAllah, dalam masa terdekat ini kita boleh menunaikan ibadat kita dengan lebih sempurna dan syiar Islam akan bersinar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan media sosial di sini hari ini.

Muhyiddin menambah, senario yang sama akan turut melibatkan gereja dan rumah-rumah ibadat bagi penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain.

Jelasnya, kerajaan akan mengumumkan SOP tertentu untuk membolehkan saudara-saudari yang beragama bukan Islam mengerjakan ibadat di rumah ibadat masing-masing. – MalaysiaGazette