KOTA KINABALU – Timbalan Pengarah Klinikal I Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, Dr. Yogendra Panchalingam bersetuju dengan hasil kajian luar negara yang beranggapan bahawa Covid-19 telah menjadi lebih lemah.
Dr. Yogendra berkata, mengikut keadaan di Singapura, walaupun jangkitan dalam kalangan pekerja asing negara itu masih meningkat secara berterusan, tetapi kebanyakan pesakit menunjukkan tanda yang lebih ringan.
Katanya kepada Sinchew Daily, dari segi imunologi, mutasi virus yang berlaku selepas menjangkit akan menyebabkan ia menjadi lebih lemah.
“Keadaan ini juga boleh menjelaskan keadaan hospital kami. 16 pesakit yang masuk ke hospital kami lebih lewat menunjukkan tanda-tanda yang lebih ringan.
“Oleh itu, saya berpendapat ia adalah boleh diterima berkenaan pendapat bahawa virus ini telah menjadi lebih lemah,” katanya selepas menerima sumbangan daripada Yayasan Sinchew dan beberapa pertubuhan perubatan Sabah.
Satu kajian oleh Arizona State University di Amerika Syarikat mendapati mutasi baharu COVID-19 berkemungkinan telah menjadi lebih lemah seperti yang dialami SARS sebelum ini.
Dalam peringkat lebih lewat jangkitan SARS, mutasi yang dialami virus itu telah melemahkannya sendiri.
Dr. Yogendra memberitahu, kekuatan imuniti seseorang memainkan peranan dalam menentukan kemampuan seseorang menentang sakit.
Katanya, amalan kebersihan yang baik, permakanan yang baik, khasiat yang baik serta emosi yang baik adalah cara berkesan menentang virus.
“Berbanding semasa menentang SARS 10 tahun lalu, tahap ancaman COVID-19 adalah lebih dahsyat.
“SARS turut menyasarkan kanak-kanak sementara COVID-19 lebih kepada warga emas. Orang muda dapat menentang sakit ini jika mempunyai imuniti yang kuat,” katanya.
Menurutnya, walaupun beberapa perayaan akan mengambil tempat tidak lama lagi, tetapi orang ramai diingatkan supaya tidak berkumpul bagi mengelakkan penyakit itu menular semula.
Beliau turut memuji orang Sabah kerana selalu bersyukur, tidak pernah memaki hamun petugas perubatan, tetapi memberi kerjasama yang baik. – MalaysiaGazette