Antara ahli keluarga Che Pah yang hadir majlis khatam al-Quran

Marhaba…Nampak gaya tahun ini famili Che Pah tidak dapat berkumpul untuk kenduri Khatam Al Quran seperti tahun tahun lalu.

Secara tradisinya, setiap tahun pada bulan Ramadhan dan lebih tepatnya pada malam 15 Ramadhan, famili Che Pah akan berkumpul dan mengadakan kenduri Khatam Quran.

Tradisi ini telah dimulakan sejak penghijrahan moyang Che Pah iaitu Habib Aidrus Al Habshi ke Tanah Melayu.

Moyang Che Pah sebenarnya berasal dari sebuah pekan kecil bernama Hawthah yang terletak di Hadhramaut, Yaman.

Habib Aidrus telah datang berhijrah ke Tanah Melayu sekitar penghujung tahun 1800an.Waktu itu masih naik kapal laut.

Kehadiran Habib Aidrus ke sini bukan sekadar mengadu nasib bahkan beliau turut membawa beberapa bersama adat dan tradisi yang di amalkan di Hawthah.

Antaranya ialah tradisi mengadakan kenduri Khatam Quran setiap malam 15 Ramadhan. Dari detik itu tradisi ini telah diamalkan turun temurun hingga ke generasi Che Pah.

Acara ini sesungguhnya acara yang sangat di tunggu tunggu semua sanak keluarga. Ibarat menyambut raya meriahnya. Malah lebih meriah dari Hari Raya.

Manakan tidak. Semua kaum keluarga dari anak, cucu dan cicit semuanya akan hadir. Seumpama jadi satu kesalahan jika gagal hadir.

Dulu, sewaktu Habib Aidrus masih ada, acara kenduri ini akan berlangsung di rumah Habib Aidrus. Rumah itu digelar Rumah Tanjong.

Ini kerana rumah Habib Aidrus betul betul terletak di tengah Bandar Muar serta berdekatan dengan Istana Tanjong. Bersebelahan pula dengan Sekolah Tinggi Muar.

Sewaktu Habib Aidrus ada, jemputan akan datang sejauh dari Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar. Bukan sahaja keluarga Arab dijemput malah jiran tetangga serta kenalan pasti menerima undangan.

Itu cerita Emak kepada Che Pah. Che Pah masih belum wujud lagi di dunia yang fana waktu itu. Akan tetapi Che Pah suka bertanya Emak kala kami duduk senggang.

Mulalah Emak membuka cerita lama. Che Pah suka dengar. Che Pah simpan dalam memori. Ini sejarah hidup kita. Jadi kita mesti tau, getus hati Che Pah.

Pemergian Habib Aidrus kepada Sang Pencipta tidak bermakna tradisi terhenti disitu sahaja. Tradisi ini kemudiannya diteruskan pula oleh anak Habib Aidrus iaitu Habib Abdul Qadir Al Habshi yang juga adik kepada Emak atau nenek Che Pah.

Masa ini Che Pah sudah dilahirkan melihat dunia. Maknanya Che Pah dapat merasa kemeriahannya.

Dua tiga hari sebelum acara bermula, Walid dan Umi sudah mula mengingatkan kami bertiga beradik.Kami bertiga beradik diwajibkan pergi.

Acara lain semua terbatal. Kenduri ini harus disertai memandangkan semua sanak saudara akan datang berkumpul.

Sejak dari pagi rumah Habib Abdul Qadir akan dipenuhi sanak saudara yang datang membantu. Maklum, dulu bukan ada katering seperti sekarang.

Semua dilakukan secara gotong royong. Habib Abdul Qadir akan memanggil tukang masak beriyani paling handal dari Batu Pahat.

Hidangan malam kenduri Khatam Quran pastinya beriyani kambing. Sedikit beriyani lembu juga di masak bagi jemputan yang tidak makan daging kambing.

Kebiasaannya majlis akan bermula sekitar jam 5 petang. Ia akan dimulai dengan bacaan Quran serta zikir tertentu.

Waktu itu masih ramai lagi orang orang tua. Jadi bahagian tingkat atas rumah Habib Abdul Qadir akan dipenuhi dengan para Habib.

Kami yang budak budak ini ditempatkan dibahagian bawah rumah.

Seronoknya majlis ini kerana waktu inilah Che Pah dapat bertemu dengan semua sepupu dan dua pupu yang sebaya dengan Che Pah.

Namun begitu Che Pah waktu kecil kuat sikit sifat pemalu. Bercinta rasa nak pergi majlis khatam ini. Malu hendak berjumpa sanak saudara.

Sampai kena marah dengan Umi. Kadang kadang itu pergi dengan rela tak rela sahaja hati ini. Akan tetapi apabila sudah sampai di sana dan bertemu dengan sepupu, maka sifat malu serta merta jadi reda.

Majlis khatam ini kebiasaannya akan diadakan secara bergili gilir diantara rumah Habib Abdul Qadir dan Habib Jaafar Al Habshi.

Jika tahun ini majlis berlangsung di rumah Habib Abdul Qadir maka tahun mendatang giliran rumah Habib Jaafar pula menjadi host.

Begitulah ia berlangsung dari setahun ke setahun sehingga lah Che Pah dewasa. Namun kala Che Pah sudah melanjutkan pelajaran ke insitutusi pengajian tinggi serta berkerja, Che Pah jarang dapat menghadiri acara ini.

Pemergian Habib Abdul Qadir serta Habib Jaafar menyahut panggilan Ilahi juga telah membuat kan acara kenduri ini terhenti buat seketika.

Tiada generasi pelapis yang mahu bertanggungjawab mengimarahkannya semula. Masing masing sibuk mungkin.

Akhirnya atas nasihat Walid, Abang kepada Che Pah menyahut panggilan untuk menghidupkannya.

Namun kali ini ia sedikit berbeza. Ia tidak lagi diadakan di rumah sebaliknya lokasi acara berpindah ke Surau Arab di Parit Setongkat, Muar.

Abang akan berkerjasama dengan seorang bapa saudara kami iaitu Ami Ahmad Al Habshi untuk mengelolakan majlis.

Ami Ahmad lebih mesra kami panggil Ami Ahmad Aden. Panggilan Aden melekat dengan Ami Ahmad kerana sememangnya Ami Ahmad dilahir dan dibesarkan di Aden, Yaman sebelum berpindah ke Tanah Melayu.

Ami Ahmad seorang bapa saudara yang sangat bertanggungjawab. Ami Ahmad merupakan orang kuat famili Che Pah.

Ami Ahmad pakar dalam segala galanya. Apabila ada kenduri kendara maka Ami Ahmad menjadi tukang masaknya.

Jika ada majlis perkahwinan, Ami Ahmad penghibur kami. Beliau pandai bermain gambus serta punya kumpulan samrah sendiri.

Pendek kata semua Ami Ahmad boleh buat. Kami bangga punya bapa saudara seperti Ami Ahmad. Maka kenduri Khatam Quran pada setiap tahun, Ami Ahmad adalah tulang belakangnya.

Kadang kala Ami Ahmad selang selikan lokasi. Jika tahun ini sudah ada diadakan di Surau Arab. Tahun depan giliran di Surau Taman Desa di Sungai Abong, Muar pula.

Ami Ahmad sebenarnya Imam dan penggerak utama di Surau Taman Desa. Penduduk Taman Desa dan AJIK Surau turut menyambut baik acara ini.

Maka bermula lebih 20 tahun lepas, Abang menjadi tunjang utama majlis khatam Quran untuk famili Che Pah.

Akan tetapi ia sudah tidak melibatkan famili perempuan sepertimana pada zaman Habib Aidrus dan Habib Abdul Qadir dulu.

Ia menjadi lebih ringkas dengan hanya melibatkan famili lelaki sahaja. Sekitar 300 orang tetamu dijemput oleh Ami Ahmad dan Abang pada setiap tahun.

Biasanya pada pagi sebelum acara berlangsung, Ami Ahmad dan AJK surau sudah sibuk memasak. Che Pah pun datang buat sibuk sibuk.

Sambil sambil itu, Che Pah belajar cara memasak beriyani dari Ami Ahmad. Biasanya beberapa hari sebelum majlis, Che Pah akan balik ke Muar.

Sekitar jam 5 petang dan sebelum waktu berbuka sudah mula ramai sanak keluarga yang hadir. Seronok rasa tak boleh cakap.

Dapat jumpa bapa saudara, sepupu serta anak anak buah yang sudah lama tidak ketemu. Itulah yang Che Pah kata lebih meriah dari Raya.

Kami akan mengaji bersama. Berselawat ramai ramai. Baca qasidah serta ratib. Masuk waktu berbuka, maka hidangan seperti buah buahan, kurma dan air sudah siap terhidang di meja di halaman surau.

Kami berbuka beramai ramai. Che Pah ambil kesempatan untuk berbual dengan semua sanak saudara. Bertanya khabar sesama sendiri.

Usai menjamah hidangan ringan, kami solat Maghrib berjemaah. Penuh satu surau hingga melimpah ke luar.

Selesai solat Maghrib, maka tiba giliran nasi beriyani dihidangkan kepada tetamu. Famili Arab ini ringkas cara hidangannya. Hanya menggunakan dulang. Setiap dulang dinikmati oleh empat orang tetamu.

Sambil makan sambil berborak ringan. Makan sedulang merapatkan hubungan. Rasa lonjakan kasih sayang sesama keluarga. Itulah nikmat sebagaimana dianjurkan Rasul kita.

Majlis akan diteruskan dengan solat Isyak dan 23 rakaat Terawih sebelum kopi halia diangkat menandakan tamatnya majlis.

Selesai semua, kami akan berziarah pula ke rumah seorang dua bapa saudara. Sekadar mengambil baraqah dan mencium tangan. – MalaysiaGazette