Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkap dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dalam konteks berguru, ilmu perlu diperoleh daripada seseorang yang mempunyai kepakaran atau kemahiran yang autentik serta berasaskan sumber yang betul, sahih dan berwibawa.

“Murid perlu menginsafi bahawa tidak ada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru manakala ghuru juga insan yang banyak membentuk karakter dan keperibadian seseorang,” katanya kenyataan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-49.

Sambutan yang akan disambut para 16 Mei ini bertemakan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’.

Tambah KPM, berguru merupakan suatu proses pembelajaran berterusan yang tiada berpenghujung, selagi mana seseorang itu masih menikmati kehidupan dunia.

Menurutnya, seseorang yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap ilmu tersebut dan juga berusaha meneroka bidang ilmu baharu.

Jelasnya, ia akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta dan mereka produk serta perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada masyarakat dan negara.

Kata KPM, murid yang ada pada hari ini merupakan generasi pewaris masa depan negara dan oleh itu adalah penting untuk guru menanam dalam jiwa muridnya akan kecintaan dan dahaga kepada ilmu.

“Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan

“KPM yakin bahawa tema ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ ini dapat memberi semangat baharu kepada guru serta murid dan seterusnya membentuk masyarakat yang menuntut ilmu dengan niat ikhlas agar ilmu mudah melekat dalam sanubari,” katanya. – MalaysiaGazette