KUALA LUMPUR – Seramai 53 orang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melepasi saringan kesihatan dihantar pulang ke Sabah pada pagi ini.
Penghantaran itu turut membabitkan tiga pelajar dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kumpulan ini bertolak dari UTeM dengan menaiki 3 buah bas universiti dan sebuah van ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada sekitar jam 3 pagi tadi.
Mereka dijadualkan berlepas dari KLIA ke Kota Kinabalu, Sabah pada jam 9 pagi dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines.
Ujarnya, seperti biasa perjalanan operasi ketujuh ini turut melalui prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan termasuklah proses dinyah cemar oleh Jabatan Bomba terdahulu bagi semua bagasi dan kesemua kenderaan yang
digunakan.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar seperti mana yang Kita harapkan dari semua pihak yang terlibat," ujarnya lagi.
Terdahulu, UTeM menyempurnakan enam operasi penghantaran pulang penuntutnya bagi Zon Selatan, peringkat kedua ke Zon Tengah 1, peringkat ketiga penghantaran pulang ke Sarawak, keempat Zon Pantai Timur, kelima sebelum ini Zon Tengah 2 iaitu Perak dan peringkat keenam pula adalah Zon Utara. – MalaysiaGazette