Bukayo Saka.

LONDON – Pandahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool bersedia untuk membawa masuk Bukayo Saka selepas pemain remaja sensasi itu menangguhkan rundingan kontrak baharu bersama Arsenal.

Pemain sayap berusia 18 tahun itu beraksi cemerlang di posisi pertahanan kiri dalam musim pertamanya bersama skuad utama The Gunners sepanjang ketiadaan Sead Kolasinac dan Kieran Tierney yang dilanda kecederaan.

Agensi berita Football Insider melaporkan, The Reds menerusi pasukan pemantau bakatnya kini sedang mengikuti rapat perkembangan Saka yang bakal memasuki tahun akhir kontrak bersama Arsenal tidak lama lagi.

Ia sekaligus menimbulkan keresahan kepada Mikel Arteta yang tentunya tidak mahu kehilangan prospek terbaiknya di kelab Utara London itu yang telah membuat 29 penampilan dalam semua pertandingan selain menyumbang tiga gol dan sembilan bantuan jaringan pada musim ini.

Dia telah pun beraksi dalam 18 perlawanan EPL dengan 12 daripadanya sebagai pemain kesebelasan utama.

Namun penangguhan semua perlawanan ekoran pandemik Covid-19 telah menyebabkan perbincangan rundingan kontrak baharunya tertangguh buat seketika waktu dan pihak pengurusan kelab dilaporkan telah bersedia untuk menawarkan kontrak baharu selama lima tahun.

Statistik cemerlang pemain kebangsaan England bawah 19 tahun (B-19) itu tentunya bukan sahaja menarik minat Liverpool, tetapi juga kelab-kelab ternama Eropah yang lain. – MalaysiaGazette