Moisés Escamilla May. Foto Agensi

MEXICO CITY – Ketua gengster terkenal di Mexico, Moisés Escamilla May dilaporkan maut selepas dijangkiti koronavirus.

Escamilla, 45, adalah ketua kumpulan Los Zetas, kartel jenayah dadah yang digeruni.

Dia menjalani hukuman selama 37 tahun kerana melakukan jenayah terancang termasuk terlibat memenggal kepala 12 individu di Yucatán.

Lebih daripada 3,450 orang telah mati akibat dijangkiti Covid-19 di Mexico, menurut Johns Hopkins University.

Escamilla juga dikenali sebagai Gordo May (Fat May), mengetuai kumpulan yang dikenali sebagai “Old School Zetas”, yang dibentuk sebagai sebahagian kartel jenayah Los Zetas.

Dia juga bertindak sebagai pembekal utama kokain di Cancun, menyeludup dadah itu menerusi laluan maritim dari Amerika Tengah ke resort-resort peranginan popular.

Rangkaian maklumatnya termasuk dalam kalangan anggota polis.

Dia ditahan pada tahun 2008 bersama lapan lelaki lain dan Escamilla dikategorikan sebagai banduan bahaya.

Escamilla meninggal dunia dua hari selepas mengalami masalah pernafasan tetapi pengumuman kematiannya dibuat pada hari Ahad. – MalaysiaGazette