Gambar hiasan

Lelaki Bangladesh guna longkang elak kuarantin dicekup polis

Beliau menjelaskan orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan PKPD Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya di talian 013-2666165 yang beroperasi 24 jam.

 

 

 

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh yang cuba meloloskan diri menerusi longkang untuk mengelak daripada menjalani kuarantin di bandar lama Petaling Jaya dicekup polis.

Ketua polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian dikesan berlaku pukul 6.05 pagi tadi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ketika ditahan dan disiasat terhadap suspek, dia cuba melarikan diri dengan memasuki longkang di hujung Jalan 4/37 menghala Jalan 4/35 yang mana longkang tersebut berada di luar pagar kawat duri PKPD.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis, lelaki tersebut telah menjalani ujian saringan awal Covid-19 semalam di salah satu pusat saringan di kawasan PKPD yang dibuka Pasukan petugas kesihatanDaerah Petaling.

“Dia mempunyai surat KKM yang dikehendaki perintah kuarantin sehingga 23 Mei ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee Mohd Faisal, lelaki berusia 31 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, dan Seksyen 15 di bawah akta yang sama selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, beliau meberitahu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat penjadualan agihan barang makanan kering dan basah serta ubat-ubatan kepada penduduk di kawasan tersebut.

“JKM turut menetapkan satu hari bagi menguruskan semua aduan penduduk yang diterima melalui Bilik Gerakan PKPD Pasar Jalan Othman,” tambah beliau.

Bilik Gerakan PKPD Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya boleh dihubungi di talian 013-2666165. – MalaysiaGazette