Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU- Polis akan memohon perintah sambung reman terhadap selebriti dan penyampai radio, Patrick Teoh bagi membantu siasatan menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata permohonan itu akan dikemukakan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membolehkan pihaknya melengkapkan kertas siasatan terhadap selebriti berusia 73 tahun itu.

Menurutnya, tempoh reman 3 hari yang diperolehi sebelum ini berakhir hari ini.

Bagaimanapun, katanya, perintah sambung reman terpaksa dimohon kerana lelaki itu enggan memberi kerjasama terhadap siasatan.

“Semua kata laluan dia lupa, termasuk untuk e-mel. Telefon bimbitnya pula hilang sehari sebelum dia dipanggil untuk disiasat.

“Jadi, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kita akan memohon reman antara 3 atau 4 hari lagi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor semalam.

Jumaat lalu, polis Johor menerima satu laporan daripada orang awam berikutan kenyataan jelik yang dimuat naik ke Facebook atas nama Patrick Teoh bertujuan menghina dan menyakitkan hati Tunku Mahkota Johor dan institusi diraja Johor.

Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Johor menahan suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor, Sabtu lalu.

Dalam perkembangan lain, seorang timbalan ketua polis balai berpangkat sarjan ditahan di Muar kelmarin kerana dipercayai mencabul 2 sukarelawan polis wanita antara Rabu hingga Jumaat lalu.

Ayob Khan berkata, proses reman terhadap anggota polis berusia 55 tahun itu sedang dilakukan.

“Kes cabul membabitkan 2 anggota sukarelawan polis wanita ini berlaku pada 6, 7 dan 8 Mei lalu. Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan kita akan jalankan siasatan selengkap-lengkapnya.

“Kalau kita dapati ada asas untuk tuduh anggota atau pegawai, saya akan pastikan tangkapan dibuat. Saya tiada tolak ansur dalam kes sebegini, sesiapa yang ambil kesempatan terhadap anggota atau pegawai perempuan akan dikenakan tindakan tegas.”- BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.