IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebak dan beremosi apabila mengenangkan kembali pengorbanan barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani Covid-19.

Baginda yang bertitah pada perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Undangan Negeri Perak itu juga bangkit berdiri sebelum meminta semua orang bangun menepuk tangan bagi melahirkan rasa penghargaan tidak terhingga.

Titah baginda, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak dalam usaha menangani wabak Covid-19 yang juga telah menunujukan semangat patriotism tinggi dalam membantu  melindungi keselamatan semua di negara ini.

“Beta zahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk warga kerja Jabatan Kesihatan, PDRM, ATM, Bomba, APM, RELA, JKM, JKN, pegawai daerah, penjawat awam.

“Juga Jabatan Penerangan, Penyiaran, badan-badan media yang telah mainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat, panduan serta nasihat melalui berita yang disiarkan.

“Beta juga menghargai pelbagai bantuan dan sumbangan berbentuk material, tenaga, perkhidmatan dan masa yang telah dihulurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta, badan profesional, komuniti setempat dan juga individu.

“Dewan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para petugas yang telah membuktikan semangat kerja dan pengorbanan atas nama negara demi kepentingan warga.

“Sebagai penghargaan, marilah kita sama-sama berdiri sambil memberikan tepukan tanda apresiasi kepada wira-wira negara yang berada di barisan hadapan tangani ancaman Covid-19,” titahnya.

Baginda kemudian bangkit berdiri di ikuti kesemua dalam Dewan sambil bertepuk tangan sebagai tanda penghargaan kepada keseluruhan barisan petugas barisan hadapan. – MalaysiaGazette