BANGKOK- Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand sedang mempertimbangkan untuk mengenakan cukai sebanyak 300 baht (RM40.51) seorang bagi setiap ketibaan antarabangsa bagi perlindungan insurans kerana pandemik.

Cukai tersebut akan dikenakan apabila aktiviti pelepasan dan ketibaan pesawat serta pelancongan disambung semula di negara itu.

Menteri Pelancongan dan Sukan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, cukai tersebut akan dikutip apabila pelancong tiba sama ada melalui jalan udara, darat atau pun laut.

Skim tersebut merupakan sebahagian daripada pelan strategik kebangsaan bertempoh 20 tahun yang memerlukan semua agensi kerajaan mendapatkan pendapatan berterusan bagi mengekal dan menstabilkan ekonomi negara.

Tambah Phiphat, idea tersebut dicetuskan tahun lepas tetapi terpaksa ditangguhkan akibat pandemik.

“Sekarang adalah masa yang tepat untuk memulakan kutipan.

“Pandemik telah menyebabkan beban yang besar kepada keyakinan pelancongan dan dengan itu dana pelancongan perlu memperuntukkan sebahagian bajet khusus kepada agensi-agensi untuk menggerakkan usaha menarik semula pelancong ke negara ini,” katanya.

Menurut Phiphat, kementerian telah menugaskan Universiti Naresuan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap beban cukai munasabah terhadap pengunjung.

Kementerian menganggarkan nilai cukai tersebut tidak melebihi 300 baht seorang.

Bagaimanapun beliau secara peribadi lebih suka jika cukai tersebut dikenakan pada kadar sekitar 100-200 baht sahaja.- MalaysiaGazette