Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee bergambar dengan penerima-penerima replika cek Geran Agroprenuer pada Majlis Penyampaian Geran Agroprenuer Muda di Wisma Tani, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2020

PUTRAJAYA – Seramai 238 usahawan muda industri makanan layak menerima Geran Agropreneur Muda (GAM) fasa 1 tahun ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4,009,168.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, terdapat tiga fasa pemberian GAM pada tahun ini membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM20 juta.

“Kita telah melihat beberapa kisah kejayaan penggiat industri makanan seperti ayam, daging, buah, di kalangan anak muda yang berjaya mengubah kehidupan mereka,” katanya pada Majlis Penyampaian Geran Agroprenuer Muda hari ini

Kementerian itu telah berjaya membantu 5,819 peserta melibatkan peruntukan RM103.64 juta melalui kelulusan GAM dan Pembiayaan Khas Agropreneur Muda antara 2016 hingga 2019.

Daripada jumlah tersebut, seramai 5,767 peserta menerima bantuan dalam bentuk geran bernilai RM100.34 juta manakala 52 peserta menerima bantuan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM3.30 juta.

Kata Ronald, pemohon yang benar-benar menunjukkan potensi dan berminat dalam indstri makanan sahaja akan diberikan kelulusan oleh kementeriannya.

“Ia mempunyai saringan ketat yang dibuat oleh kementerian, hanya pemohon yang betul-betul berminat dipertimbangkan menerima geran ini, yang ingin berjaya dalam bidang pertanian akan dipertimbangkan melalui proses ketat kerana kita mahu melihat mereka berjaya,” tambah beliau.

Menurut Ronald, proses permohonan GAM untuk fasa kedua tahun ini telah bermula 1 Mei lalu dan akan berakhir pada 31 Mei ini. – MalaysiaGazette