Anggota keselamatan mengadakan pemantauan di jalan raya dalam usaha menyekat pergerakan orang ramai untuk membendung penularan wabak koronavirus. foto Agensi

RIYADH – Arab Saudi akan menguatkuasakan perintah berkurung selama 24 jam di seluruh negara selama lima hari semasa cuti Aidilfitri bagi membendung penyebaran koronavirus.

Kementerian Dalam Negeri berkata, perintah berkurung itu berkuatkuasa mulai 23 hingga 27 Mei.

Buat masa ini, perniagaan dan komersial dibenarkan dibuka dan orang ramai bebas bergerak antara jam 9 pagi hingga 5 petang kecuali Makkah yang berada dalam kawalan perintah berkurung sepenuhnya.

Arab Saudi sebelum ini melaksanakan perintah berkurung selama 24 jam di kebanyakan bandar dan tetapi melonggarkannya sejak awal Ramadan.

Namun, kelonggaran sepenuhnya tidak diberikan kepada kawasan yang masih lagi merekodkan kes jangkitan koronavirus yang tinggi.

Arab Saudi merekodkan sebanyak 42,925 kes Covid-19 dan 264 kematian.

Ini adalah jumlah tertinggi dalam enam anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang secara keseluruhannya mencatatkan lebih dari 107,000 kes dan 582 kematian. – MalaysiaGazette