Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertimbangkan kebenaran membuka beberapa lagi sektor tertentu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, antara sektor yang difikirkan akan dibuka semula adalah sektor sosial dan pendidikan.

“KKM meneliti untuk membuka semula sektor sosial dan pendidikan namun ia bergantung kepada kes harian. Ini kita akan monitor setiap hari,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Bagaimanapun, ia terletak kepada penurunan statistik kes jangkitan harian yang diterima oleh KKM.

Tambah Noor Hisham, statistik yang ditunjukkan hari ini adalah daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama hingga empat yang memberikan kesan kepada penurunan itu.

“Jika dilihat kepada graf permodenan dan ramalan KKM, nilai R Naught (RO) pada permulaan PKP adalah 3.5 dan ia berjaya diturunkan sehingga 0.3 susulan impak positif tindakan PKP,” katanya.

Beliau berkata, nilai RO boleh menurun sekiranya langkah-langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan dalam masyarakat. – MalaysiaGazette