Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa hadir pada Sidang Media Pasca Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional berkemungkinan besar akan meletakkan calon dari UMNO dalam Pilihan Raya Kecil N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, kata Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, PRK Chini juga bakal menyaksikan kerjasama berterusan Muafakat Nasional yang dimeterai  dalam piagam bersama parti Pas bagi menggerak kerjasama politik menjadikan hasrat UMNO bertanding satu realiti.

“Sudah semestinya bagi menghadapi PRK DUN Chini ini, gagasan serta semangat Muafakat Nasional sama sahaja seperti PRK sebelum-sebelum ini berterusan berjalan.

“Kita juga akan selalu mengadakan pertemuan dua parti dari masa ke semasa, malah hari ini juga kita akan ada pertemuan tidak formal antara pucuk pimpinan tertinggi UMNO-Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pasca mesyuarat Dewan Tertinggi BN di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan juga memberikan bayangan calon bagi PRK kali ini datangnya dari UMNO dan ia juga sudah dipersetujui ketika mesyuarat BN dua hari lepas.

Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada Sidang Media Pasca Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2020

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan keputusan mesyuarat yang melantik Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengarah PRK Dun Chini.

Penyandang terdahulu, Datuk Seri Abu Bakar Harun, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) minggu lepas akibat serangan jantung.

Ketika Pilihan Raya Umum 2018 (PRU-14), Abu Bakar selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi N23 DUN Chini yang disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Pada pertembungan itu, beliau menewaskan wakil Gabungan Sejahtera (GS) daripada PAS, Muhd Fadhil Noor Abdul Karim, yang memperoleh 4,622 undi dan wakil PKR yang mewakili Pakatan Harapan, Mohamad Razali Ithnain, yang mendapat 1,065 undi.

Kawasan Parlimen P085 Pekan mempunyai empat kawasan DUN iaitu N20 Pulau Manis, N21 Peramu Jaya, N22 Bebar, dan N23 Chini.

Semua kerusi DUN dalam Parlimen berkenaan dikuasai oleh BN menerusi calon UMNO.

Kerusi Parlimen Pekan dikuasai penyandangnya yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama 11 penggal berturut-turut. –MalaysiaGazette