MUTAKHIR ini kita lihat usaha yang bersungguh-sungguh daripada pihak kerajaan bagi membendung penularan berita palsu di kalangan masyarakat. Banyak usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui agensi kelolaannya seperti Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia dengan kerjasama agensi-agensi terlibat menggembleng tenaga membuat penafian berita palsu yang tular di laman sosial dan portal isu semasa. Sejak Covid-19 melanda, terlihat juga usaha berterusan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Pasukan Respon Pantas memperbetulkan fakta-fakta yang tidak sahih berkenaan isu Covid-19 dan hal-hal berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan.

Hal ini dilihat semakin penting kerana kes penularan berita palsu semakin meningkat. Fenomena ini dilihat sebagai satu perkara yang perlu diperangi selain daripada pandemik sebenar yang sedang menular di seluruh dunia kini. Apa yang ada pada berita palsu yang menyebabkan ia menjadi tular? Mengapa ramai
yang bertindak menyebarkan berita tanpa memeriksa kebenaran dan asal usul berita tersebut? Siapakah sebenarnya yang mewujudkan dan menyebabkan berita palsu menjadi sesuatu yang di luar kawal kejadiannya? Ini mungkin persoalan yang sering bermain di fikiran kita.

Seterusnya, wujud pula persoalan siapakah yang perlu bertanggungjawab untuk memastikan berita-berita yang ada di kalangan masyarakat adalah yang sahih sumbernya, yang benar ceritanya dan yang objektif laporannya? Sebenarnya, kita sebagai rakyat Malaysia bersama mempunyai tanggungjawab untuk
memastikan berita yang tidak benar tidak menular di kalangan masyarakat. Setiap daripada kita perlulah memastikan berita yang dikongsi adalah berita yang benar dari sumber yang sahih.

Agensi kerajaan seperti RTM telah pun membuat inisiatif untuk menerbitkan rancangan Pastikan Sahih untuk mewarwarkan kepada rakyat Malaysia sisi yang benar terhadap sesuatu berita yang tular. Kerajaan juga telah mengadakan kempen ‘Tidak Pasti Jangan Kongsi’ melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan portal Sebenarnya. my untuk berkongsi kepada masyarakat berita sebenar yang berlaku di sebalik yang tular.
Melalui usaha-usaha ini adalah diharapkan rakyat Malaysia menggunakan saluran dan sumber yang dipercayai dan mengenal pasti berita yang tersiar sebelum dikongsi dengan yang lain. Langkah ini dalah penting kerana kita tidak mahu berita tidak benar meningkatkan lagi tekanan mental dan emosi rakyat Malaysia yang sedang berdepan dengan wabak yang lebih serius iaitu wabak Covid-19. Malah, usaha ini perlu meliputi seluruh lapisan masyarakat dan tidak tergalas di bahu kerajaan dan pengamal media professional semata-mata.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai warga Malaysia yang prihatin tentang keamanan dan keselamatan negara kita melakukan yang terdaya untuk mengelakkan berita palsu daripada terus mewujudkan keadaan panik dalam masyarakat.
Penting untuk kita sedar bahawa setiap tindakan dan respons kita akan memberi kesan kepada orang lain. Mungkin memberi kesan langsung kepada komuniti kita, dalam keluarga kita dan juga masyarakat secara keseluruhannya. Kita terutamanya pada masa kini perlulah bersama mewujudkan suatu ekosistem yang
selamat demi menjamin kelestarian kesihatan mental dan fizikal rakyat dengan melakukan tanggungjawab kita sebagai rakyat dengan memastikan kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang menyumbang kepada suasana tidak tenteram dalam
negara dengan menyebarkan berita palsu.

Seperti yang disarankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tak Pasti Jangan Kongsi, kita sebagai rakyat mempunyai tanggungjawab bersama mengekalkan situasi tenang dalam usaha kita membantu kerajaan mendepani Covid-19.
Kita duduk di rumah, kekal tenang dan apabila pasti beritanya barulah dikongsi.

Oleh: Dr Mastura Mahamed
Pensyarah Kanan
Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM