Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa bercakap dalam sidang media Pasca Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Belum wujud keperluan untuk Perikatan Nasional (PN) didaftarkan secara rasmi sebagai satu entiti politik seperti Barisan Nasional (BN).

Malah hubungan harmoni serta persefahamaan dalam kalangan parti politik PN sememangnya ketika sudah cukup dan tidak perlu tergesa-gesa.

Senada dengan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO dan BN,  Tan Sri Annuar Musa sekali lagi membuat penegasan tiada lagi keperluan untuk mendaftarkan PN secara formal seperti cadangan segelintir pihak.

Sebaliknya kata Setiausaha Agung BN itu, cadangan untuk mendaftarkan PN perlu mendapat pandangan anggota parti di setiap peringkat termasuk akar umbi.

“Hubungan, persefahamaan serta rundingan setakat ini antara parti dalam PN sememangnya sudah cukup harmoni, pastinya itu yang perlu kita kekalkan.

“Pada masa sama, kita juga tidak hasrat itu jadi mengapa perlu begitu tergesa-gesa dalam masa begitu singkat mahu terus mendaftarkan PN.

“Ini merupakan satu proses yang tidak hanya berlaku pada peringkat pucuk pimpinan sahaja sebaliknya setiap parti itu sendiri, setiap parti bekerjasama dalam PN mempunyai prosedur masing-masing sebelum membuat keputusan.

“Jadinya, tidak perlu tergesa-gesa,”katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dua hari lepas.

Artikel berkaitan: http://malaysiagazette.com/2020/05/06/majlis-tertinggi-umno-sudah-tolak-cadangan-penubuhan-pn/

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat baru-baru ini sebulat suara menolak cadangan penubuhan PN dan sebarang idea untuk menyertainya.

Ini kerana PN bukan satu entiti politik yang berdaftar seperti Barisan Nasional (BN) sebaliknya penyertaan UMNO tidak lebih daripada persefahaaman dalam menyelamatkan Malaysia ketika krisis politik teruk melanda negara.

Antara yang menjadi penyebab penolakan ini termasuklah isu-isu berkaitan pembahagian kerusi antara parti-parti persefahaman PN terutamanya parti Bersatu dan UMNO.

Ini termasuklah kerusi-kerusi tradisional UMNO yang kini sudah menjadi ‘milik’ Bersatu selepas wakil rakyat UMNO melompat ke parti tersebut sejurus selepas kalah pada Pilihan Raya Umum lepas.

Malah krisis dalaman politik Bersatu masih lagi menjadi tanda tanya dan ianya hanya boleh diselesaikan melalui pilihan raya parti yang sehingga kini belum lagi nampak tanda-tanda akan berlaku pada masa terdekat. –MalaysiaGazette

Tidak perlu tergesa-gesa jadikan PN entiti politik berdaftar – Vigneswaran

Terimalah kenyataan UMNO tidak pernah sertai PN