najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu menerima kenyataan bahawa UMNO tidak pernah menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana ia bukan satu entiti politik yang berdaftar seperti Barisan Nasional.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menegaskan, apa yang cuba di sampaikan Timbalan Presiden partu, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah untuk menjelaskan situasi sebenarnya UMNO dalam kerajaan PN.

“Kerajaan PN bukanlah kerajaan daripada BN atau Muafakat Nasional. Kerajaan PN hanya sebuah kerajaan “transisi” untuk menyelamatkan negara daripada krisis politik yang dicipta sendiri oleh PH dan Bersatu.

“Inilah realitinya, UMNO terpaksa berkorban dan menolak segala kepentingan demi negara dan rakyat.

“Jika Bersatu, boleh bersuara, mengapa UMNO tidak boleh? Kalau benar ikhlas untuk membela nasib bangsa dalam gabungan politik ini, ianya haruslah bermula dengan menghormati dan mendengar pandangan pihak lain.,” katanya di Facebook miliknya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Rais Yatim yang menyifatkan Mohamad seolah-olah tidak senang dengan kerajaan campuran membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas.

Ia susulan kenyataan Timbalan Presiden UMNO baru-baru ini yang menekankan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak berdaftar dan bukan satu ikatan formal yang kekal menunjukkan Mohamad tidak senang dengan kerajaan campuran itu.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu berkata, jika ini benar, ia adalah tidak baik untuk orang Melayu ketika dalam keadaan mencabar sekarang.

Sebelum ini, Armada Sabah turut membidas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai mencampuri urusan Perdana Menteri sedangkan UMNO adalah parti terbesar dalam gabungan ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast