Tiga wanita ditahan selepas mengeluarkan perkataan kesat dan menghalang tugas polis yang menegur tindakan salah seorang daripada mereka bermain mercun di sebuah taman perumahan di Kerayong, Bera

KUANTAN – Tiga wanita ditahan selepas mengeluarkan perkataan kesat dan menghalang tugas polis yang menegur tindakan salah seorang daripada mereka bermain mercun di sebuah taman perumahan di Kerayong, Bera dekat sini.

Ketua Polis Daerah Bera DSP Mansor Samsudin berkata semua suspek mempunyai hubungan keluarga dan berusia antara 21 hingga 45 tahun ditahan pada 8.45 malam,  Rabu lepas oleh pasukan yang menjalankan operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di kawasan terbabit.

Katanya, salah seorang suspek dilihat membaling mercun menyebabkan pegawai polis berhenti di hadapan rumah itu untuk menasihatkannya supaya tidak meneruskan perbuatan tersebut, menyebabkan suspek marah.

“Semasa itu, seorang wanita yang menaiki kereta Proton Waja tiba di perkarangan rumah itu yang difahamkan terus memaki pegawai polis dengan perkataan kesat sebelum seorang lagi wanita keluar dari rumah dan melakukan perbuatan sama.

Pegawai terlibat telah memberi nasihat kepada suspek untuk menghentikan perbuatan itu, namun mereka dikatakan enggan memberi kerjasama selain turut menghalang polis daripada melakukan tugas,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mansor berkata semua suspek kini direman selama tiga hari mulai semalam, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak kurang RM10,000 atau kedua-duanya serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang boleh didenda tidak lebih RM100 kerana mengeluarkan kata kesat.

“Polis menasihatkan orang awam untuk tidak bermain mercun atau apa-apa jenis bahan letupan dan patuh serta memberikan kerjasama kepada arahan daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

— BERNAMA

 

2 Komen

  1. boleh main mercun ke tak boleh?…bila perayaan Tahun Baru Cina berdentum bunyi mercun sana sini.

    Tapi yang pasti melanggar PKP tu tetap salah.

  2. “Mansur berkata semua suspek kini direman selama tiga hari mulai semalam, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan”

    heran jugak.. selalunya org tak maki orang ikut sesuka hati kecuali teguran tuh bersifat kadar.. tp. klu teguran itu bersifat nasihat dan penguatkuasa itu di. maki. maka ketiga tiga wanita itu mmg bermasaalah..

Comments are closed.