KUALA TERENGGANU – Sembilan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah kedai dua tingkat yang didiami mereka terbakar dalam kejadian pukul 9.30 malam tadi di Kampung Beladau Kolam di sini.

Menurut mangsa, Suliani Sulong, 35, kebakaran itu bukan sahaja menyebabkan mereka hilang tempat tinggal malah punca pendapatan terjejas kerana kedai bakeri, kedai makan, kedai runcit dan tempat pemprosesan ayam yang diuruskan keluarga mereka di bangunan sama, hangus terbakar.

“Kebakaran bermula dari sebuah daripada bilik dan disedari seorang daripada abang saya. Sebelum ketibaan pasukan bomba, ada ahli keluarga yang cuba memadam kebakaran namun gagal,” katanya ketika ditemui pemberita lewat malam tadi.

Tambah Suliani, ketika kejadian beliau bersama ibu dan seorang adiknya sedang menonton televisyen di bahagian tengah rumah. Ketika kejadian empat daripada sembilan penghuni tiada di rumah.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Mohd Basri Kamarazaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10 malam dan 34 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Wakaf Tapai dan Kuala Berang digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika bomba tiba di lokasi, api sedang marak. Pihak kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal dan memadamkan kebakaran,” katanya yang turut menegaskan punca kejadian serta jumlah kerugian kini masih lagi dalam siasatan. – Bernama