Majikan tidak dibenarkan memaksa pekerja menjalani kuarantin selama 14 hari dalam masa yang sama menolak cuti atau gaji mereka selepas berlaku rentas negeri atas urusan kerja atau peribadi yang dibenarkan pihak berkuasa.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini bimbang dengan dengan peningkatan pergerakan dan perjalanan individu merentas negeri terutamanya menjelang perayaan yang bakal tiba.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 971 kes positif Covid-19 atau kira-kira 14.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif itu mempunyai sejarah merentas negeri.

“Sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan, juga berkaitan dengan aktiviti merentas negeri.

“10 daripada kluster-kluster itu masih aktif,” katanya pada sedang media hari ini.

Noor Hisham berkata, masyarakat dinasihatkan agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Masyarakat harus waspada semasa tempoh perayaan yang bakal tiba kerana ini mungkin menjadi pemangkin kepada
penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan-kawasan yang kini telah mencapai status hijau,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut menasihatkan ibu bapa untuk tidak membawa anak mereka yang di bawah 12 tahun ke tempat-tempat tumpuan ramai serta hospital bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada mereka.

Katanya lagi, warga emas berumur bawah 60 tahun juga perlu mengelak berada di tempat orang ramai.

“Risiko lebih tinggi kepada kanak-kanak bawah 12 tahun, di hospital pun kita tak galakkan bawa. Kita bimbang ada jangkitan kuman.

“Kalau boleh, jangan bawa kanak-kanak dan warga emas berumur 60 tahun datang ke tempat awam seperti di hospital dan pasar raya, elakkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette