Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kes baharu positif Covid-19 meningkat lima kes hari ini berbanding semalam sebanyak 17 kes baharu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan 6,894 kes keseluruhan sementara jumlah kes aktif 1,210 kes.

“Daripada 22 kes kes baharu yang dilaporkan, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negeri manakala 17 kes adalah penularan tempatan dimana sembilan kes adalah bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Dilaporkan juga jumlah kes pulih mengatasi kes baharu dengan 59 kes telah pulih dan dibenarkan pulang.

Ini menjadikan kes pulih meliputi 80.8 peratus dengan 5,571 kes.

“Sehingga kini terdapat 13 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada itu tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, tiada kes kematian direkodkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian masih di paras 113 kes. -MalaysiaGazette