Ahmad London.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) merayu kerajaan agar mempertimbangkan permohonan penggiat industri filem dan siri televisyen (TV) untuk menyambung kerja penerbitan terutamanya sesi penggambaran sebelum Aidilfitri ini.

Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim, berkata ia bagi memberi peluang kepada mereka menerima sedikit bayaran sebagai persediaan menyambut hari raya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesediaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mempertimbang permohonan penggiat industri bagi meneruskan kerja mereka.

“Tak perlu tunggu selepas hari raya. SOP (prosedur operasi standard) komprehensif cadangan FDAM sudah diberi kepada KKMM oleh Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).

“Masih tak terlambat nak dapat duit raya kalau kelonggaran bersyarat untuk penggambaran diberikan esok (Isnin) atau Selasa ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Ahmad berkata beliau bersedia bertemu pihak berkenaan termasuk Majlis Keselamatan Negara pada bila-bila masa jika diperlukan bagi memberi penjelasan lanjut mengenai SOP penggambaran itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah pada Khamis lepas berkata mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan memutuskan pelaksanaan SOP berkenaan dalam masa terdekat selepas meneliti impak pelaksanaan PKP bersyarat dan kesan pembukaan semula operasi sektor ekonomi.

Menurut data FDAM, terdapat kira-kira 875 karyawan filem dan TV – termasuk 35 ahli FDAM mewakili 35 syarikat penerbitan kehilangan mata pencarian sejak penguatkuasaan PKP dimulakan 18 Mac lalu. – BERNAMA