Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew bercakap pada sidang media berkenaan Ops-Covid 19 Fasa 3 hari ke- 6 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 20 APRIL 2020

SHAH ALAM – Sebanyak 377 kenderaan telah diarahkan berpatah balik dalam pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan di seluruh Selangor sejak semalam.

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, daripada jumlah itu, 270 kenderaan dikesan dalam SJR di plaza tol setakat 12 tengah malam semalam.

“Bagi fasa kelima Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, terdapat 19 lokasi tetap SJR diadakan di seluruh Selangor.

“Bagi 17 Mei 2020, jumlah pemeriksaan kenderaan melibatkan sebanyak 17,616 kenderaan.

“Jumlah kenderaan yang diarahkan patah balik pula adalah sebanyak 377 kenderaan. Sebanyak 270 kenderaan yang diarahkan patah balik dalam SJR di plaza tol di sempadan negeri,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Katanya, terdapat empat SJR antara negeri dilakukan pihak polis termasuklah di Kajang, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.

Menurutnya, bagi SJR di plaza tol pula, sebanyak tujuh daerah terlibat dengan jumlah 10 SJR.

“Antara di Petaling Jaya (2), Gombak (2), Klang Utara (1), Kajang (2), Sungai Buloh (1), Subang Jaya (1) dan Kuala Langat (1),” katanya.

Sejak 12 tengah malam semalam sahaja, sebanyak 11,767 kenderaan telah diperiksa dan 270 kenderaan telah diarahkan patah balik.

“Baki daripada 377 kenderaan yang diarah patah balik melibatkan sekatan jalan raya antara negeri,” katanya.

Selain itu, dalam operasi pematuhan sejak semalam sahaja, seramai 7,107 orang yang diperiksa dan 2,262 melibatkan di premis, pasaraya, kilang, bank dan premis kerajaan.

“Bagi terminal darat, air dan udara pula sebanyak 122, bagi pemeriksaan kenderaan di jalan raya (pemeriksaan snap check) ada sebanyak 4,223 orang, pasar awam-114, tempat ibadat-303, tempat riadah-69 dan tapak pembinaan-14. – MalaysiaGazette