Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib foto FAREEZ FADZIL, 18 MEI 2020.

SHAH ALAM – Dadah jenis ganja dalam bentuk cecair antara empat sindiket pengedaran dadah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berjaya ditumpaskan oleh Pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib dalam memaklumkan pengedaran ganja cecair itu dilakukan oleh dua remaja lelaki berumur 19 tahun pada 14 Mei lalu di sebuah rumah, manakala seorang lelaki lagi ditahan di lokasi lain sehari selepas itu atas dakwaan menjalankan aktiviti yang sama.

“Dalam serbuan dua lelaki yang ditahan, polis turut merampas dua botol plastik kecil berisi cecair disyaki mengandungi dadah jenis ganja anggaran berat 0.5 milimiter dan satu paket plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki ganja sebarat 1.5 gram.

“Susulan pemerhatian di hadapan (kedai serbaneka), 7-Eleven di Jalan Dato Yusuf Shahbudin di Klang, seorang lelaki keluar dari kereta Perodua Myvi ditangkap dengan empat kotak berisi empat botol cecair disyaki ganja.

Selepas itu polis turut merampas 40 botol cecair lagi ganja di kediaman lelaki itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Ketiga-tiga lelaki yang positif ganja itu disiasat di bawah Sek 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Baharudin berkata, tangkapan juga dilakukan ke atas enggota sindiket pengedaran dadah heroin melibatkan dua individu berusia 27 dan 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan menjumpai satu beg pakaian didalamnya ada 110 paket plastik lutsinar berisi ketulan serbuk warna putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 187.05 gram,” katanya.

Anggaran nilai rampasan ini mencecah RM5,500.

Selain itu, katanya, polis turut merampas dadah jenis syabu bernilai RM12,650 dalam tujuh paket yang disembunyikan dalam penyedut hampagas (vakum) di sebuah rumah.

Baharudin berkata, suspek lelaki itu telah lama melakukan kegiatan jenayah itu kerana mempunyai pengalaman menyembunyikan dadah.

“Suspek ditahan reman tujuh hari sehingga esok untuk siasatan lanjut,” jelas beliau sambil menambah lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah dadah dan satu rekod jenayah.

Kata Baharudin,rampasan dadah bagi kesemua kes dianggarkan bernilai RM28,730. – MalaysiaGazette