Dat6a dan email peribadi 9 juta pelanggan syarikat penerbangan EasyJet telah diserang penggodam siber.

LONDON – Syarikat penerbangan EasyJet menjadi sasaran utama serangan siber yang mengakses e mel dan data penerbangan sembilan juta penumpangnya.

Malahan data dan maklumat peribadi kad kredit milik 2,208 orang berurusan dengan syarikat penerbangan itu juga ‘dicuri’ penggodam siber.

Syarikat penerbangan yang bermasalah itu berkata, alamat e-mel dan maklumat perjalanan pelanggannya telah diakses secara curi.

Selain itu, maklumat pasport dan kad kredit pelanggan yang lain tidak diakses dan rangkaian dalam talian yang terjejas akibat serangan siber itu telah ditutup serta merta.

EasyJet bagaimanapun tidak mengesahkan bila dan di mana serangan siber itu berlaku termasuk tempoh serangan itu berlarutan.

Dalam kenyataan kepada pasaran saham, EasyJet mendakwa tiada sebarang bukti menunjukkan sebarag maklumat disalahgunakan.

Bagaimanapun EasyJet berkata, syarikatnya sedang berhubung dengan kesemua pelanggannya yang mana data perjalanannya diakses penggodam siber supaya mengambil langkah perlindungan bagi mengurangkan risiko kecurian data selepas ini.

“Kami memandang serius isu keselamatan dan akan terus melabur untuk memperkasakan persekitaran keselamatan kami.

“EasyJet dalam proses berhubung dengan setiap pelanggan kami secara terus dan pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan sebelum 26 Mei ini,” kata jurucakap syarikat itu.

EasyJet juga menegaskan, kejadian itu telah dimaklumkan kepada Pusat Sibersekuriti Kebangsaan, Pejabat Pesuruhjaya Maklumat (ICO).

ICO mengesyorkan EasyJet supaya segera menghubungi pelangganya yang terjejas berikutan peningkatan risiko pemancingan data semasa pandemik Covid-19.- MalaysiaGazette