Azman Yusoff

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan supaya memberi keutamaan kepada kontraktor bumiputera dan tempatan dengan melibatkan mereka secara langsung dalam projek rojek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), khususnya Syeksen A projek berkenaan.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, melalui saringan kontraktor Bumiputera yang dikendalikan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) sebelum ini, terdapat lebih 50 kontraktor yang melepasi syarat-syarat untuk mengambil bahagian dalam perlaksanaannya, khususnya Seksyen A projek berkenaan.

“Ia akan membabitkan kerja-kerja pembinaan di penjajaran semula sepanjang 210.4 kilometer (km) dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu yang melibatkan pembinaan enam stesen ECRL.

“Kelulusan diperoleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik projek dan aset ECRL, menerusi surat daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertarikh 14 Mei 2020, akan merangkumi kerja persiapan dan kerja tanah seperti jajaran muktamad; lokasi stesen penumpang dan kargo serta jumlah lot tanah yang akan diambil kerajaan.

“Justeru, PKBM menggesa supaya kontraktor Bumiputera dan tempatan diberi keutamaan dan dilibatkan secara langsung bagi pelaksanaan projek ini bersama pihak MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menerusi tawaran harga kerja yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman, peluang yang diberikan penting dalam memastikan kontraktor Bumiputera dan tempatan dapat menyumbang khidmat terutama berkaitan skop kerja infrastruktur yang semestinya menjadi kepakaran kontraktor tempatan.

“Malah ini secara langsung meletakkan peranan kepada MRL untuk membantu syarikat Bumiputera selain KPI kepada syarikat CCC supaya kontraktor tempatan dan Bumiputera ini diutamakan.

“Kami juga mahukan pelantikan kontraktor terpilih nanti dijalankan secara telus dan saksama tanpa menggangu gugat perjalanan perlaksanaan projek bernilai RM44 bilion ini,” katanya. – MalaysiaGazette