Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berkenaan isu penghinaan DYMM Yang Dipertuan Agong oleh beberapa individu dan ahli politik di laman sosial berkaitan Sidang Parlimen Ke-14 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bmelanggar arahan kerajaan dan cuba merentasi negeri untuk pulang berhari raya di kampung.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, tindakan itu hanya akan meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 kepada orang tua di kampung.

“Ayahanda tadi nampak di Balai Polis Dang Wangi penuh dengan orang nak memohon rentasi negeri dengan macam-macam alasan.

“Kalau orang kata jangan balik, maksudnya janganlah balik. kenapa degil sangat, ayahpun (saya) ada emak bapa tapi akur dengan perintah kerajaan (jangan balik), banyak yang kena halau (berpatah balik).

“Kirim duit untuk emak bapa boleh tapi janganlah cuba balik dan menambah risiko jangkitan. Kalau nak senang balik kampung berjalan kaki ikut landasan keretapi tak ada kesesakan

“Nasihat ayahanda, sila bertenang dan jangan balik kampung kecuali ada alasan kukuh emak bapa sakit,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Abdul Rani turut menegur sikap ambil mudah ibu bapa yang sanggup membawa anak mereka membeli belah.

Katanya, kanak-kanak tidak tahu menegnai Covid-19 yang menular seluruh dunia dan mereka tidak seharusnya didedahkan kepada virus itu.

“Kalau emak bapa nak bawa anak shopping jangan bawa dalam premis, biarkan tunggu kereta atau di luar dipimpin ahli keluarga dan biar emak bapa sahaja masuk beli barang,” katanya

Beliau turut meminta pemilik pasaraya dan pusat membeli belah supaya tidak membenarkan ibu bapa yang membawa anak-anak kecil masuk ke dalam premis masing-masing.

“Jangan waktu raya ini nak utamakan keuntungan sahaja dengan abaikan dan tidak mengambil tahu nyawa orang dan keselamatan pengunjung,” katanya. – MalaysiaGazette