Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima sebanyak 8,380 panggilan membabitkan kesihatan mental menerusi talian sokongan psikososial sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, daripada jumlah panggilan sepanjang musim Covid-19 itu, sebanyak 46.8 peratus adalah membabitkan masalah emosi iaitu membabitkan stres, bimbang dan kemarahan akibat daripada pelbagai faktor sosial seperti masalah kewangan, tiada pendapatan serta perselisihan keluarga.

Sebanyak 20 peratus perkara yang dibangkitkan membabitkan isu berkaitan wabak Covid-19; bantuan keperluan asas (6.9 peratus); masalah atau keganasan rumah tangga dan perhubungan (6 peratus); masalah psikiatri seperti kemurungan dan keresahan (2.4 peratus) dan penderaan kanak-kanak (0.2 peratus).

“Justeru kesihatan mental memang salah satu bidang yang KKM sedang lihat bagaimana kita boleh mempertingkatkan perkhidmatannya dalam membantu memulihkan rakyat.

“Pun begitu, isu pertama yang dibangkitkan orang ketika kaunseling dalam talian membabitkan masalah emosi iaitu 46.8 peratus dan keduanya isu berkaitan wabak Covid-19 yang ada 20 peratus,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, pihakya perlu memberikan kaunseling supaya mereka dapat maklumat terkini berkaitan masalah kesihatan mental termasuk Covid-19 kerana mereka mengalami kebimbangan kerana berkemungkinan menerima maklumat tidak tepat.

Justeru, Noor Hisham juga menegaskan, KKM mempunyai talian yang boleh dihubungi oleh orang awam supaya kakitangan dan doktor KKM boleh memberi nasihat melalui kaedah dalam talian.

Menurutnya, KKM perlu memberikan nasihat mengikut permasalahan yang dihadapi orang awam dan sekiranya mereka memahami situasi yang dihadapinya maka mereka akan menerima isu yang dihadapinya dengan berani.

“Pada masa sama, kita juga sedang kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengambil tindakan intervensi untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan susulan panggilan orang awam kepada pasukan sokongan psikososial KKM,” ujarnya lagi.

Ia melibatkan sokongan emosi dan sosial; intervensi kaunseling; bantuan awal psikologi untuk pengurusan masalah tekanan yang dialami; rujukan dan rawatan bagi masalah dan penyakit mental serta terapi relaksasi.

“Selain itu, orang awam juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih dan tidak mendengar khabar angin, berfikir secara positif dan mengawal kemarahan mereka.

“Selain itu, mereka juga disarankan berkongsi perasaan dengan individu dipercayai bagi mendapat sokongan emosi; kerap melakukan aktiviti fizikal dan makan secara sihat serta bersosial dengan norma baharu,” tegasnya.-MalaysiaGazette