Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik diadakan di Tokyo, Jepun.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi kelonggaran khas kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk menjayakan program Road to Tokyo 2020 yang memerlukan atlet membuat persiapan dan sesi latihan ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi program itu, seramai 265 individu termasuk 57 atlet terlibat dengan sesi latihan dan persiapan.

Ismail Sabri Yaakob

“Hari ini Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menerima permohonan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican untuk kelonggaran khas bagi program Road to Tokyo 2020.

“Mesyuarat telah bersetuju memberi kelonggaran khas melibatkan 265 individu termasuk 57 atlet bagi persiapan dan sesi latihan untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, sesi latihan itu akan diadakan di tiga Kem Latihan Berpusat yang telah ditetapkan iaitu Kompleks Sukan Bukit Jalil melibatkan 181 individu, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara (56 individu) dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi (28 individu).

Katanya, Kem Latihan Berpusat akan bermula pada 1 Jun sehingga 30 Jun ini sebagai fasa pertama, yang mana saringan Covid-19 akan dilakukan sewaktu pendaftaran.

“KBS akan menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine-based approach) selama 30 hari ini, iaitu bersamaan dua kali tempoh inkubasi.

“Mereka yang terlibat tidak akan dibenarkan keluar Kem Latihan Berpusat. Sebelum tamat tempoh latihan, mereka juga akan dikenakan saringan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, satu Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan Reezal akan memastikan pelaksanaan Program Kem Latihan Berpusat ini dijalankan mengikut pematuhan SOP yang ditetapkan. – MalaysiaGazette