KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia hari ini mengumumkan 25 guru sebagai pemenang anugerah tahunan McDonald’s Anugerah Guru Inspirasi.

Anugerah berkenaan bagi menghargai dan mengiktiraf guru-guru berinspirasi dari seluruh negara yang telah melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki dan memberi impak berpanjangan kepada pelajar mereka.

Pengarah Urusan dan rakan operasi tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata anugerah itu, bertujuan membina platform untuk guru di negara ini agar kisah mereka dapat dicontohi, dengan memperlihatkan usaha dan hasrat guru sebagai pendidik yang luar biasa.

“Membaca kisah luar biasa tentang komitmen para guru tahun ini, dedikasi tinggi dan rasa kasih terhadap pelajar mereka telah memperkukuhkan keyakinan kami bahawa guru harus diberi pengiktirafan terbaik atas segala usaha mereka,” kata Azmir dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, peruncit perkhidmatan makanan itu menerima hampir 5,000 cerita mengenai guru-guru dari seluruh negara yang melangkaui tugas hakiki demi anak murid mereka.

Setiap 25 pemenang akan menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil pengiktirafan sempena sambutan Hari Guru tahun ini, sementara pencalon akan menerima baucar McDonald’s bernilai RM200.

Kisah mengenai 25 guru itu boleh dibaca di www.mcdonalds.com.my/anugerahguruinspirasi.- BERNAMA